Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Calon Pengerusi Fed, Kevin Warsh menegaskan bahawa bank pusat perlu kekal bebas daripada pengaruh politik, namun pada masa sama harus fokus kepada mandat utamanya.
Dalam ucapan kepada Jawatankuasa Perbankan Senat, beliau memberi penekanan kuat terhadap usaha membendung inflasi.
Warsh turut mengkritik tindakan Federal Reserve yang didakwa telah melangkaui peranan dengan menyentuh isu seperti perubahan iklim dan ketidaksamaan sosial. Menurutnya, kebebasan institusi itu boleh terjejas sekiranya ia terlibat dalam dasar fiskal dan sosial di luar bidang kepakaran.
Donald Trump sebelum ini menamakan Warsh sebagai calon untuk menggantikan Jerome Powell. Namun, pencalonan tersebut mencetuskan persoalan sama ada Warsh mampu menahan tekanan politik, khususnya berkaitan desakan untuk menurunkan kadar faedah.
Walaupun mempertahankan kepentingan kebebasan Fed, Warsh berpandangan bahawa pandangan daripada ahli politik mengenai kadar faedah tidak semestinya mengancam dasar monetari.
Dalam masa sama, beliau mengakui terdapat beberapa aspek lain dalam Fed yang tidak menikmati kebebasan sepenuhnya, termasuk pengawasan terhadap penggunaan dana awam.
Proses pencalonan turut berdepan cabaran apabila siasatan dilancarkan terhadap projek pengubahsuaian ibu pejabat Fed bernilai berbilion dolar.
Beberapa pihak termasuk Senator Thom Tillis berikrar untuk menangguhkan proses tersebut sehingga siasatan selesai, walaupun White Hoiuse yakin Warsh tetap akan disahkan sebagai pengerusi baharu.























































