Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus meningkatkan pegangan sahamnya dalam Sunway Berhad selepas syarikat itu mengumumkan tawaran pengambilalihan bersyarat bernilai RM11 bilion terhadap IJM Corporation Berhad.
KWSP dilaporkan mengumpul 44.15 juta saham Sunway antara 13 Januari hingga 11 Februari, sekali gus meneruskan trend pengumpulan berterusan sejak penghujung tahun lalu.
Sejak awal tahun ini, KWSP telah menambah pegangan sebanyak 64.07 juta saham, di mana sebahagian besarnya diperoleh susulan pengumuman rasmi tawaran pengambilalihan IJM oleh Sunway pada 12 Januari lalu.
Sementara itu, pada 13 Januari lalu, KWSP telah membeli lebih 10 juta saham Sunway yang merupakan pembelian harian terbesar institusi tersebut setakat tahun ini.
Pembelian itu menyaksikan saham Sunway ditutup tinggi 0.89% pada paras RM5.65 menjelang penghujung sesi dagangan.
Jumlah dagangan kaunter itu melonjak ke paras tertinggi dalam hampir dua bulan, disokong oleh transaksi KWSP yang membentuk hampir 50% daripada keseluruhan 22.3 juta saham yang diniagakan.
Menurut data Bursa Marketplace, pegangan KWSP dalam Sunway dianggarkan bernilai kira-kira RM3.65 bilion dan KWSP merupakan pemegang saham institusi ketiga terbesar dalam sektor tersebut.
Kali terakhir saham Sunway diniagakan adalah pada paras RM5.77 dengan nilai pasaran syarikat mencecah sekitar RM39 bilion, meningkat 2% pada awal tahun ini.
Pada masa yang sama, Sungei Way Corp Sdn Bhd dan Jef-San Enterprise Sdn Bhd kekal sebagai pemegang saham terbesar, masing-masing dengan pemegang sebanyak 46.89% dan 9.43%.

























































