Hampir 25 peratus daripada keseluruhan import ke dalam Kesatuan Eropah (EU) kini berkembang pada kadar yang membimbangkan, didorong terutamanya oleh limpahan barangan dari China. Bercakap di hadapan Jawatankuasa Perdagangan Parlimen Eropah pada Khamis, Ketua Pegawai Penguatkuasaan Perdagangan Suruhanjaya Eropah, Denis Redonnet, mendedahkan bahawa kemasukan produk asing secara tidak normal ini telah memberi tekanan hebat ke atas pengeluar domestik merentasi sektor jentera, tekstil, logam asas, dan bahan kimia.
Pendedahan amaran ini hadir tatkala Brussels sedang menggandakan usaha diplomasi dan rundingan bersama Beijing bagi merapatkan jurang defisit perdagangan barangan EU-China yang membengkak kepada €360 bilion ($407 bilion) pada 2025. Ketidakseimbangan ini semakin parah apabila aliran barangan buatan China terus membanjiri pasaran benua tersebut, manakala pada masa yang sama eksport Eropah ke pasaran ekonomi kedua terbesar dunia itu merudum pada kadar yang hampir setara.
Mengikut data perdagangan rasmi, Kesatuan Eropah merekodkan jumlah keseluruhan import sebanyak €2.53 trilion ($2.86 trilion) sepanjang tahun 2025. Daripada jumlah raksasa berkenaan, sebanyak €571 bilion disumbangkan secara langsung oleh pengeluar dari China, membuktikan tahap pergantungan rantaian bekalan serta dominasi produk republik tersebut dalam pasaran blok 27 negara anggota.
Kebanjiran produk murah ini mencetuskan gelombang bantahan daripada pemain industri serantau yang menuntut langkah pertahanan perdagangan diperketatkan bagi mengelakkan herotan pasaran. Sebagai tindak balas, Suruhanjaya Eropah telah melancarkan 32 siasatan kes perdagangan baharu pada 2025 yang hampir menyamai rekod tertinggi 33 kes pada 2024 dan jauh melangkaui purata sejarah tahunan sebanyak 12 kes dengan lebih satu pertiga daripadanya tertumpu kepada sektor bahan kimia.
Bagi mengekang kemerosotan daya saing pengeluar tempatan, penguatkuasaan perdagangan EU kini bergerak ke tahap lebih agresif dengan 27 kes penyiasatan baharu telah pun dibuka setakat tahun 2026. Brussels kini meletakkan sasaran untuk memuktamadkan persetujuan mekanisme pengurusan eksport bersama Beijing pada bulan ini bagi mengawal kuota dan amalan lambakan sebelum langkah tarif punitif terpaksa dikuatkuasakan secara unilateral.

























































