Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Malaysia tidak memerlukan rangsangan ekonomi ketika krisis Asia Barat, memandangkan keadaan inflasi domestik masih stabil dan terkawal.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi, menegaskan bahawa sebarang langkah rangsangan ketika ini hanya berisiko menambah tekanan inflasi, tanpa keperluan mendesak dari sudut pertumbuhan ekonomi.
Inflasi Malaysia kekal rendah pada paras 1.6% setakat Januari 2026, disokong oleh langkah dasar berkesan termasuk pemantauan rapi dan pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia mengikut keadaan semasa ekonomi.
Walaupun terdapat potensi tekanan harga, dasar kerajaan dilihat membantu mengurangkan beban pengguna, memandangkan inflasi bukan sahaja dipengaruhi harga minyak, tetapi juga kos barangan dan perkhidmatan lain dalam rantaian ekonomi.
Isyarat pasaran melalui hasil bon jangka pendek dan panjang turut menunjukkan jangkaan inflasi kekal terkawal, sekali gus mencerminkan kedudukan ekonomi Malaysia yang masih kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global, termasuk konflik di Asia Barat. – Bernama



















































