Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperkenalkan pasport Malaysia dan Mykad versi baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dokumen pengenalan diri tersebut akan ditambah baik dari segi reka bentuk dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan baharu.
Tujuan utama penambahbaikan itu dilaksanakan adalah untuk memperkukuh tahap keselamatan dokumen berkenaan selaras perubahan teknologi dan keperluan semasa, termasuk membanteras pemalsuan MyKad.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa rakyat tidak perlu tergesa-gesa untuk memperbaharui pasport dan MyKad milik mereka sendiri kerana ia masih boleh digunakan sehingga tamat tempoh.
Beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan ini merupakan satu pencapaian penting kepada kerajaan dalam usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri dan perjalanan negara.
Saifuddin juga berkata pasport Malaysia kini berada di kedudukan ketiga paling dipercayai di dunia berdasarkan tahap kebebasan perjalanan tanpa visa yang dinikmati oleh setiap rakyat.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menghadiri sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri semalam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Ptchay, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.



























































