School Network, sebuah komuniti teknologi yang beroperasi di Forest City, dilaporkan menghentikan operasinya selepas lesen perniagaan pengendalinya, NSO Malaysia Sdn Bhd, dibatalkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Tinjauan di lokasi pada pagi Rabu mendapati notis penutupan sementara telah dipasang di pintu masuk utama. Papan tanda yang memaparkan nama School Network di pintu masuk dan sekitar kawasan premis juga didapati telah ditanggalkan atau ditutup.
Tindakan itu susulan keputusan MBIP yang membatalkan lesen perniagaan syarikat berkenaan serta mengarahkan semua operasi dihentikan berkuat kuasa Rabu. Menurut MBIP, siasatan mendapati syarikat itu gagal mematuhi syarat pelesenan dan penggunaan premis yang telah diluluskan.
Selain itu, lesen pengiklanan syarikat turut dibatalkan selepas aktiviti yang dijalankan didapati tidak selaras dengan kelulusan penggunaan premis sebagai pejabat.
School Network merupakan sebuah komuniti teknologi yang menawarkan konsep tinggal bersama (co-living) dan bekerja bersama (co-working) dengan yuran keahlian bermula sekitar AS$1,500 (kira-kira RM6,135) sebulan.
Platform itu diasaskan oleh usahawan Amerika, Balaji Srinivasan, dan menyasarkan komuniti nomad digital, pekerja jarak jauh serta usahawan teknologi dari seluruh dunia.
Isu ini turut mendapat perhatian selepas pada 14 Julai, timbul dakwaan bahawa beberapa individu warga Israel menyertai program tersebut menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh negara lain.
Dakwaan itu mencetuskan perdebatan awam, namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi yang mengaitkan pembatalan lesen oleh MBIP dengan dakwaan tersebut.
MBIP sebaliknya memaklumkan tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan ketidakpatuhan terhadap syarat pelesenan dan penggunaan premis.

























































