Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan Perancis, Jerman dan United Kingdom (UK) menegaskan bahawa mereka bersedia untuk mempertahankan kepentingan mereka dan rakan sekutunya di Asia Barat.
Ketiga-tiga negara tersebut menyatakan bahawa mereka akan mengambil tindakan pertahanan terhadap Iran sekiranya langkah itu diperlukan.
Para pemimpin dunia itu terkejut dengan serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran terhadap negara-negara di Asia Barat termasuk negara yang tidak terlibat dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Menerusi satu kenyataan, mereka menyeru Iran segera menghentikan serangan tersebut kerana ia berisiko mengancam keselamatan orang awam di seluruh rantau berkenaan.
Ketiga-tiga negara itu akan mengambil langkah pertahanan untuk mempertahankan kepentingan dan sekutu di Asia Barat bagi memusnahkan keupayaan Iran melepaskan tembakan dron dan peluru berpandu.
Setakat ini, Iran telah melancarkan serangan ke atas aset AS di negara-negara Asia Barat lain, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Syria, Iraq, Jordan dan Kuwait.
Pada masa yang sama, jurucakap tentera Jerman melaporkan bahawa Iran telah menyerang pangkalan tentera multinasional berhampiran Arbil di utara Iraq dan kem tentera di timur Jordan.
Walau bagaimanapun, tiada rakyat yang tercedera mahupun terkorban dalam insiden berkenaan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengisytiharkan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebagai pengisytiharaan perang terhadap umat Islam.
Beliau juga menganggapnya sebagai hak yang sah untuk membalas dendam terhadap dalang jenayah bersejarah terbabit.
Susulan kematian Khamenei, Iran mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari dan tujuh hari cuti umum atas pemergian pemimpin berpengaruh berkenaan.


























































