Para penggubal dasar Rizab Persekutuan (The Fed) dijangka memulakan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu ini dalam keadaan berbeza pandangan berhubung peranan keadaan kewangan dalam memacu tekanan inflasi domestik. Walaupun bank pusat yang sedang bergelut mengekang inflasi sepatutnya menaikkan kos pinjaman, konsensus pasaran menjangkakan majoriti ahli jawatankuasa akan memilih untuk mengekalkan kadar faedah penanda aras pada julat 3.75% hingga 4.00% pada awal pagi Khamis ini. Langkah jeda ini menyusuli kenaikan 25 mata asas pada September lalu, tatkala pelabur mengunci jangkaan bahawa kenaikan seterusnya hanya akan berlaku pada mesyuarat 8-9 Disember.
Perbezaan dalaman ini berakar umbi daripada ketiadaan kerangka kerja yang seragam dalam kalangan pegawai mengenai cara menilai tahap kelonggaran pasaran modal. Bekas Presiden Fed New York, William Dudley, mendedahkan bahawa Pengerusi Kevin Warsh sangat mementingkan petunjuk pasaran kewangan seperti penilaian ekuiti dan hasil bon jangka panjang, namun konsep tersebut masih belum sebati dalam institusi The Fed. Akibatnya, kelompok pegawai yang peka terhadap kecairan pasaran khususnya Presiden Fed Cleveland Beth Hammack, Presiden Fed Dallas Lorie Logan, dan Presiden Fed Minneapolis Neel Kashkari diunjurkan berpotensi memfailkan undi penentangan (dissent) demi mendesak kenaikan kadar segera minggu ini.
Presiden Fed Cleveland, Beth Hammack, secara terbuka menegaskan bahawa keadaan kewangan semasa langsung tidak bersifat mengekang aktiviti perniagaan sebenar dimana di daerahnya yang masih bergerak pada kapasiti penuh. Pandangan ini disokong kuat oleh Dudley, yang memberi amaran bahawa menumpukan perhatian semata-mata kepada kadar jangka pendek adalah satu kesilapan besar. Menurut beliau, ekonomi Amerika Syarikat digerakkan oleh hasil bon jangka panjang dan kekayaan pasaran saham.Mengabaikan transmisi aset-aset ini akan menyebabkan bank pusat tersalah menilai kedudukan sebenar dasar monetari.
Dapatan sektor swasta Wall Street turut mengesahkan bahawa dasar kewangan The Fed ketika ini masih terlalu longgar untuk meredakan lonjakan harga. Indeks Keadaan Kewangan Goldman Sachs mendedahkan bahawa tahap kekangan pasaran modal hari ini masih hampir menyamai paras awal tahun di sebalik anjakan dasar hawkish bank pusat. Situasi ini diperkukuhkan oleh tinjauan Deutsche Bank yang mendapati 42% pelabur institusi mengklasifikasikan pasaran kewangan sebagai “sederhana akomodatif”, manakala penganalisis Piper Sandler menegaskan bahawa kadar dasar semasa sekitar 3.9% sebenarnya masih menyokong pertumbuhan dan mendorong bank melonggarkan syarat pinjaman.
Ketiadaan garis panduan rasmi The Fed mengenai Indeks Keadaan Kewangan (FCI) kini mengundang kritikan tajam daripada firma penyelidikan pasaran Evercore ISI. Penganalisis Evercore menyifatkan pendekatan Warsh yang bergantung kepada sentimen pasaran tanpa kerangka FCI yang terperinci sebagai satu kelemahan operasi yang berbahaya. Menjelang sidang akhbar, Warsh dijangka cuba mempertahankan hujah bahawa pengetatan keadaan kewangan pasaran bon diperlukan bagi melindungi kemampanan ledakan kecerdasan buatan (AI), satu mesej yang dinilai lebih menarik minat ahli ekonomi berbanding komuniti pelabur Wall Street.


















































