Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang tempatan didagangkan tinggi berbanding mata wang utama dunia dan Asia di tengah-tengah sentimen berhati-hati dalam pasaran meluas.
Pada jam 11 pagi, ringgit didagangkan pada paras 3.9470 iaitu positif 0.08% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Walau bagaimanapun, unit domestik tidak banyak berubah berbanding dolar AS apabila pelabur mengambil pendirian tunggu dan lihat menjelang mesyuarat ketiga Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) tahun ini, kata seorang penganalisis.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat yang sempit hari ini di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati.
Pada pembukaan, ringgit menambah nilai berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.3482/3543 daripada 5.3525/3580 pada penutupan Isnin, lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.4791/4821 daripada 2.4810/4837 pada Isnin, dan susut berbanding euro kepada 4.6316/6368 daripada 4.6387/6434 pada Isnin.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding rakan sejawat ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1011/1051 daripada 3.1018/1052 pada penutupan Isnin, dan meningkat berbanding baht Thai kepada 12.2061/2257 daripada penutupan semalam iaitu 12.2129/2309.
Unit domestik tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina masing-masing pada 229.5/229.8 dan 6.50/6.51. – Bernama























































