Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila para pedagang menilai semula kebarangkalian kenaikan kadar faedah di AS susulan data Nonfarm Payrolls (NFP) yang lebih lemah daripada jangkaan.
Pada jam 10:05 pagi, ringgit berada pada paras RM4.0700 iaitu menyusut 0.07% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keengganan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) untuk memberikan petunjuk awal mengenai hala tuju kadar faedah membantu mengekalkan kestabilan ringgit.
Menurut beliau, tumpuan pasaran minggu ini akan terarah kepada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan, selain mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual berlangsung pada Khamis, 9 Julai.
Pada pembukaan dagangan, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.6543/6640 daripada 4.6497/6612 ketika ditutup pada Jumaat. Ia turut merosot berbanding pound Britain kepada 5.4336/4449 daripada 5.4296/4430 minggu lalu.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5203/5257 daripada 2.5214/5277 sebelumnya.
Dalam kalangan mata wang serantau, ringgit turut diniagakan lebih rendah.
Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1500/1571 daripada 3.1483/1563 pada penutupan Jumaat.
Ia juga lemah berbanding baht Thailand kepada 12.2627/2942 daripada 12.2384/2744 minggu lalu.
Selain itu, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 226.5/227.1 daripada 226.2/226.8 pada Jumaat lepas, serta merosot berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.61/6.63 sebelumnya. – Bernama























































