Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan Rusia kini sedang menekan pengguna untuk meninggalkan aplikasi mesej asing seperti Telegram dan WhatsApp, dan beralih kepada platform tempatan yang dipanggil Max, yang dikritik kerana sifat pengawasan berpusatnya.
Pihak berkuasa Rusia telah membuka siasatan terhadap pengasas Telegram, Pavel Durov, atas dakwaan membantu aktiviti pengganas.
Media pro-Kremlin mendakwa Telegram digunakan oleh perkhidmatan perisikan NATO dan kerajaan Ukraine untuk menghasut protes, menyebarkan ideologi radikal, serta melakukan sabotaj dan jenayah pengganas di Rusia.
Jika Telegram enggan bekerjasama, ia boleh digelar sebagai ‘organisasi ekstremis’ dan diharamkan di negara itu.
Durov menafikan tuduhan itu, dan berkata Rusia sedang cuba mengekang hak privasi dan kebebasan bersuara rakyatnya.
Telegram diasaskan pada 2013 sebagai aplikasi fokus privasi.
Durov meninggalkan Rusia pada 2014 selepas ditekan untuk menjual sahamnya di VK, rangkaian sosial terbesar Rusia.
Kini, beliau memegang kewarganegaraan Perancis dan UAE.
Media Rusia mendakwa Telegram mengabaikan permintaan dari pihak berkuasa Rusia untuk memadam kandungan yang dianggap haram, walaupun telah menerima lebih 150,000 permintaan.
Mereka turut menuduh Telegram digunakan untuk serangan dalaman, termasuk pembunuhan pegawai tentera dan serangan lain sejak pencerobohan penuh Ukraine pada 2022.
Kerajaan Rusia sebelum ini pernah cuba mengharamkan Telegram pada 2018 kerana enggan menyerahkan kunci enkripsi, tetapi gagal kerana pengguna dan Telegram menggunakan proxy untuk mengelak sekatan.
Sekatan itu hanya dibuka semula pada 2020.
Dan kini, Russia sekali lagi memperlahankan trafik Telegram dan memblok WhatsApp, sambil menekankan penggunaan platform tempatan Max.
Walaupun begitu, Telegram tetap popular di kalangan tentera Rusia dan mempunyai lebih 100 juta pengguna bulanan, menunjukkan kesukaran Kremlin untuk mengalih perhatian rakyat ke platform tempatan.


























































