Seramai 14,768 pekerja di Selangor kehilangan pekerjaan sehingga 10 Julai tahun ini, menurut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Daripada jumlah itu, 4,263 individu berjaya memperoleh pekerjaan baharu menerusi pelbagai inisiatif pemadanan pekerjaan dan intervensi pasaran buruh yang dilaksanakan PERKESO bersama agensi berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata kerajaan negeri komited memperkukuh usaha membantu pencari kerja yang masih belum mendapat pekerjaan melalui kerjasama strategik dengan PERKESO.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam pada Selasa.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk sesi pemprofilan dan pemadanan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs bagi mengenal pasti peluang kerja yang bersesuaian dengan kelayakan, pengalaman dan kemahiran pencari kerja.
Kerajaan turut menawarkan program peningkatan kemahiran serta latihan semula bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja mengikut keperluan industri semasa.
Selain itu, kerajaan negeri menganjurkan Karnival Kerjaya JobCare Selangor dan Mega JobCare Selangor sebagai platform yang menghubungkan majikan dengan pencari kerja melalui temu duga terbuka, pemadanan pekerjaan dan bimbingan kerjaya.
Bagi individu yang kehilangan pekerjaan, PERKESO turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk elaun mencari pekerjaan, elaun pendapatan berkurangan, elaun latihan serta pembiayaan yuran latihan kepada mereka yang layak.
Pencari kerja juga boleh mendapatkan latihan, pensijilan profesional, semakan CV, persediaan temu duga serta khidmat pemadanan pekerjaan secara berterusan melalui platform MYFutureJobs dan JobCare Selangor.

























































