Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Beberapa syarikat penerbangan di Asia dan Eropah mula menaikkan harga tiket serta caj bahan api susulan kenaikan mendadak kos bahan api pesawat.
Konflik geopolitik di Timur Tengah telah mengganggu laluan udara utama, sekali gus memaksa syarikat mengubah jadual penerbangan dan menanggung kos operasi yang lebih tinggi.
Antara syarikat yang mengumumkan kenaikan harga tiket termasuklah Qantas Airways, Scandinavian Airlines dan Air New Zealand.
Air New Zealand melaporkan harga bahan api jet melonjak daripada $85 hingga 90 setong kepada $150 hingga $200 setong sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Ketidaktentuan konflik ini turut menyebabkan syarikat berkenaan menggantung unjuran kewangan bagi tahun 2026.
Gangguan pada laluan minyak utama ini meningkatkan kos operasi dan menekan harga tiket bagi beberapa laluan.
Jurucakap Scandinavian Airlines (SAS) menyatakan bahawa kenaikan bahan api pada tahap ini memaksa syarikat mengambil tindakan segera untuk menstabilkan operasi, termasuk pelarasan harga secara sementara.
Lufthansa dan Ryanair mendapat sedikit kelegaan menerusi program lindung nilai bahan api yang mengunci harga lebih awal.
Bagaimanapun, Finnair yang melindungi nilai lebih 80% bahan api suku pertama memberi amaran bahawa konflik berpanjangan boleh menganggu bukan sahaja harga malah bekalan bahan api global.
Flightradar24 melaporkan pesawat yang tiba di Dubai terpaksa berlegar seketika akibat ancaman serangan peluru berpandu sebelum dibenarkan mendarat.
Gangguan ruang udara ini memaksa syarikat ubah tuju laluan dan rangkaian penerbangan mereka.
Cathay Pacific akan menambah kekerapan penerbangan ke London dan Zurich pada Mac disebabkan penutupan ruang udara, serta kekangan kapasiti yang melonjakkan tambang bagi laluan Asia–Eropah.
Hong Kong Airlines pula mengumumkan kenaikan caj bahan api sehingga 35.2%, manakala Air India mula melaksanakan kenaikan caj bahan api secara berperingkat bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.
Sebaliknya, International Airlines Group (pemilik British Airways) belum merancang untuk menaikkan tambang ekoran kedudukan lindung nilai bahan api yang masih kukuh.
Harga minyak sempat melonjak ke paras $119 setong Isnin lalu sebelum turun sekitar $90 setong selepas kenyataan Presiden Donald Trump bahawa konflik tersebut mungkin berakhir tidak lama lagi.
Saham syarikat penerbangan Eropah mencatatkan kenaikan antara 3% hingga 8%, namun saham penerbangan utama AS seperti Delta, United, Alaska dan American Airlines merosot antara 2 hingga 4%.
Kenaikan kos bahan api dan laluan yang lebih panjang jelas menekan margin keuntungan syarikat penerbangan.
Walaupun permintaan terhadap perjalanan udara masih kukuh, tekanan kos ini bakal membebankan industri yang selama ini bergantung pada margin kecil serta kecekapan operasi yang tinggi.
























































