Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
United Kingdom (UK) mengumumkan persetujuan untuk membeli senjata milik Amerika Syarikat (AS) bagi dibekalkan kepada Ukraine selepas menyetai skim NATO.
Keputusan itu disahkan sendiri oleh Kementerian Pertahanan Britain.
Setiausaha Pertahanan British, John Healey mengesahkan bahawa UK telah memperuntukkan £150 juta kepada Senarai Keperluan Keutamaan Ukraine (PURL) sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Rusia ke atas Ukraine di bawah pentadbiran Presiden Vladimir Putin.
PURL telah diwujudkan pada musim panas lalu bagi memastikan penghantaran senjata AS ke Ukraine tidak terputus.
Di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, bantuan ketenteraan baharu dari Washington telah berkurangan, namun White House sedia menjual senjata yang dibiayai oleh sekutu lain.
Pada awal bulan ini, Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte menyatakan keyakinan penuh bahawa pakatan itu boleh mengumpul dana tambahan bernilai $15 bilion tahun ini.
Sementara itu, Menteri Pertahanan NATO dijadual membincangkan bantuan kepada Ukraine semasa mengadakan pertemuan di Brussels pada Khamis.
Langkah ini juga mencerminkan tekanan yang semakin meningkat terhadap negara sekutu NATO untuk menyertai skim tersebut susulan aduan daripada Norway, Belanda dan jerman bahawa mereka telah menanggung lebih banyak sumbangan secara tidak seimbang.
Menurut dua diplomat NATO, sebanyak 24 daripada 32 negara anggota pakatan tersebut telah menyatakan komitmen untuk menyertai skim berkenaan.
Penyertaan skim tersebut kini diperkukuh dengan pendaftaran Australia dan New Zealand, sementara Jepun dijangka bakal mengumumkan sumbangan bantuan bukan ketenteraan dalam masa terdekat.
Bagi menjamin kelestarian skim tersebut, pegawai NATO sedang menilai beberapa pilihan penstrukturan semula program.
Setakat ini, program itu masih bergantung besar kepada usaha peribadi Rette dalam memujuk negara anggota dan belum ada keputusan muktamad yang dicapai.



























































