Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang dolar AS mencatatkan kenaikan sederhana selepas alami kejatuhan ketara sejak minggu lepas selepas penggubal dasar bersetuju untuk mengekalkan kadar faedah 3.75% semasa mesyuarat FOMC Januari.
Pada jam 9.30 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) berada pada paras 96.280 mata iaitu rendah 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Federal Reserve Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar pinjaman semalaman dalam julat 3.5% hingga 3.75% susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).
Kenyataan pasca mesyuarat menunjukkan aktiviti ekonomi terus berkembang pada kadar yang kukuh, manakala kadar pengangguran memperlihatkan tanda-tanda penstabilan.
Dalam sidang media, Pengerusi Fed Jerome Powell menegaskan bahawa data semasa tidak menunjukkan dasar monetari berada dalam keadaan terlalu ketat, sekali gus mencerminkan pendirian berhati-hati bank pusat dalam menilai hala tuju dasar seterusnya.
Keputusan Fed hadir dalam suasana tekanan politik yang meningkat, apabila Presiden Donald Trump memaklumkan bahawa beliau hampir memuktamadkan calon bagi jawatan Pengerusi Fed yang baharu.
Pada masa sama, siasatan Jabatan Kehakiman terhadap Powell turut mencetuskan kebimbangan pasaran mengenai potensi gangguan terhadap kebebasan bank pusat.
Indeks dolar AS pula terus berada di bawah tekanan, dengan susut hampir 2% setakat tahun ini selepas merosot 9.4% sepanjang tahun lalu.
Walaupun Trump menyifatkan nilai dolar sebagai kukuh, pasaran menafsirkan kenyataan itu sebagai isyarat yang menggalakkan penjualan dolar menjelang keputusan dasar Fed.
Prestasi lemah dolar didorong oleh jangkaan pemotongan kadar faedah yang berterusan, ketidakpastian berkaitan tarif perdagangan, ketidaktentuan dasar termasuk isu kebebasan Fed serta peningkatan defisit fiskal.
Gabungan faktor ini telah menghakis keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi Amerika Syarikat, sekali gus menekan mata wang tersebut dalam pasaran global.




























































