Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Dolar AS stabil hampir paras tertinggi dua minggu pada hari Jumaat, bersedia untuk prestasi mingguan terkuat sejak November apabila penurunan saham yang didorong oleh kebimbangan perbelanjaan AI menggegarkan pelabur.
Pada jam 9.40 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) berada pada paras 97.882 mata iaitu turun 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
USD terus mengukuh sejak Presiden Donald Trump mencalonkan Kevin Warsh sebagai Pengerusi Fed yang baharu minggu lalu, apabila pasaran menjangkakan beliau tidak akan terlalu agresif mendesak penurunan kadar faedah.
Jangkaan ini membantu meredakan kebimbangan terhadap kebebasan bank pusat, sekali gus menyokong pengukuhan dolar.
Pada masa sama, penjualan mendadak saham teknologi minggu ini didorong kebimbangan pelabur terhadap perbelanjaan besar dalam kecerdasan buatan (AI) serta kesan jangka panjang penggunaan teknologi AI yang berkembang pesat, yang berpotensi mengganggu pelbagai sektor ekonomi.
Sentimen penghindaran risiko turut menyokong dolar walaupun hasil Perbendaharaan AS merosot, susulan data ekonomi yang menunjukkan kelemahan pasaran pekerjaan menjelang laporan Non-Farm Payrolls (NFP) bagi Januari yang sangat dinantikan minggu depan.
Ahli ekonomi ING berpandangan kelembapan ketara dalam pengambilan pekerja menandakan Fed mungkin bertindak terlalu awal dalam mengurangkan tumpuan terhadap risiko pasaran buruh pada mesyuarat dasar Januari.
Keadaan ini meningkatkan tekanan agar pemotongan kadar faedah disambung semula dalam tempoh terdekat.
Pasaran kini masih menjangkakan dua kali pemotongan kadar faedah sepanjang tahun ini, dengan kebarangkalian langkah pertama pada Jun terus meningkat secara berperingkat.
Di Eropah, Bank of England mengekalkan kadar faedah pada Khamis susulan undian tipis 5-4, keputusan yang tidak dijangka pasaran. Bank pusat itu turut memberi isyarat kos pinjaman berkemungkinan diturunkan sekiranya trend penurunan inflasi yang dijangka dalam tempoh terdekat berterusan.

























































