Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang dolar AS memulakan dagangan harian dengan rentak stabil apabila pemain pasaran menantikan keputusan kadar faedah daripada Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank Pusat England (BOE) pada malam ini (Khamis).
Pada jam 9.30 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) berada pada paras 97.664 iaitu positif 0.02% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Pasaran kewangan global kekal berhati-hati menjelang pengumuman keputusan kadar faedah daripada Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank of England (BoE) lewat hari ini, dengan kedua-dua bank pusat dijangka mengekalkan kadar faedah sedia ada di tengah ketidaktentuan ekonomi dan inflasi yang masih tidak seimbang.
Penganalisis Bank of America menjangkakan ECB akan mengekalkan kadar faedah, dengan penekanan komunikasi dasar lebih tertumpu kepada peningkatan ketidakpastian prospek ekonomi.
Walaupun keyakinan terhadap pemotongan kadar pada Mac masih lemah, kecenderungan dasar monetari ECB dilihat condong ke arah pelonggaran secara berperingkat, selari dengan momentum pertumbuhan yang perlahan dan tekanan harga yang semakin sederhana.
Dalam masa yang sama, perhatian pasaran turut terarah kepada keputusan Bank of England, yang juga dijangka mengekalkan kadar faedah ketika penggubal dasar menilai keseimbangan antara risiko inflasi berterusan dan tanda-tanda kelembapan ekonomi domestik.
Kenyataan susulan mesyuarat dijangka menjadi panduan utama terhadap hala tuju dasar monetari UK dalam beberapa bulan akan datang.
Di Amerika Syarikat, niaga hadapan dana Fed menunjukkan kebarangkalian tersirat sebanyak 90.6% bahawa Fed akan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dua hari akan datang yang berakhir pada 18 Mac, tidak berubah berbanding sesi sebelumnya.
Jangkaan ini mencerminkan pendirian pasaran yang semakin berhati-hati, dengan tumpuan utama terhadap data ekonomi seterusnya bagi menilai masa sesuai untuk pelonggaran dasar monetari.
























































