3 Ekonomi Terbesar Asia Ini Mula Terkesan Oleh Impak Coronavirus

1,148

Ketika China masih bertarung untuk membendung virus maut coronavirus yang terus mencatatkan peningkatan dalam jumlah kematian dan kes jangkitan di seluruh dunia, beberapa negara ekonomi terbesar Asia pula mula mempamerkan kesannya kepada pertumbuhan.

Ini dapat dilihat menerusi kejatuhan yang dicatatkan oleh indikator kepada sektor pembuatan di Australia dan Jepun, manakala pesanan eksport di Korea Selatan pula menunjukkan kemerosotan dalam permintaan dari China.

Data PMI pembuatan dan perkhidmatan di Australia gagal mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan aktiviti perkilangan terus menunjukkan penguncupan untuk empat bulan berturut-turut.

Selain itu, laporan PMI pembuatan hasil tinjauan Jibun Bank Jepun pula menunjukkan aktiviti perkilangan Jepun merosot untuk bulan ke-10 berturut-turut dan merupakan penguncupan terbesar dalam tempoh 7 tahun.

Kelemahan ini terus menambah tekanan kepada Jepun setelah menyaksikan beberapa siri data ekonomi yang lemah. Hal ini menyebabkan penganalisis mula melihat bahawa negara itu sedang diancam kemelesetan.

Sementara itu, Gabenor Bank of Japan (BOJ) Haruhiko Kuroda yang juga merupakan pemimpin kewangan kepada G20 memberitahu bahawa kesan wabak coronavirus terhadap pertumbuhan global akan menjadi isu utama dalam sidang kemuncak G20 hujung minggu ini yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

Di Korea Selatan pula, walaupun eksport negara itu mencatatkan peningkatan, namun dapat dilihat bahawa permintaan dari China semakin merosot dengan kejatuhan sebanyak 3.7% dalam tempoh 20 hari pertama pada Februari.

Perkara ini mungkin bertambah buruk memandangkan negara itu kini terus mencatatkan peningkatan dalam jumlah kes dan kematian, di mana setakat ini ia telah meragut 1 nyawa dan 156 kes telah disahkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat