Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
SELASA (11 Jun 2024)
Data Pekerjaan UK (2.00 Petang) – Bacaan terbaru bagi laporan pekerjaan UK akan memberikan petunjuk kepada bank pusat England untuk melanjutkan perbincangan terhadap dasar monetari mereka. Jika data diterbitkan merosot, besar kemungkinan keputusan yang sama akan diambil seperti bank pusat Eropah minggu lalu.
RABU (12 Jun 2024)
Data KDNK UK (2.00 Petang) – Turut akan menjadi perhatian bank pusat England adalah laporan pertumbuhan ekonomi UK. Ramalan pertumbuhan bulanan untuk April adalah sifar, menurun daripada bulan sebelumnya yang mencatatkan pertumbuhan 0.4%.
Data Inflasi AS (8.30 Malam) – Selepas NFP minggu lalu, tumpuan Federal Reserve akan terarah pula kepada data inflasi pengguna minggu ini yang menjadi indikator utama menentukan keputusan dalam penetapan dasar monetari. Ramalan pasaran adalah angka inflasi kekal seperti sebelum ini untuk Mei.
KHAMIS (13 Jun 2024)
Mesyuarat FOMC (2.00 Pagi) – Detik-detik yang dinantikan para pelabur, keputusan mesyuarat FOMC akan menjadi pemacu arah pergerakan pasaran selepas ini. Kadar faedah masih dijangka akan dikekalkan di paras 5.50% dengan ucapan susulan oleh Pengerusi Jerome Powell memainkan peranan yang besar.
Data Pekerjaan Australia (9.30 Pagi) – Sebanyak 30,000 jumlah pertambahan pekerjaan di Australia dijangkakan pada bulan Mei, sedikit rendah berbanding angka bulan sebelumnya. Manakala kadar pengangguran pula diramal menurun dari 4.1% kepada 4.0%.
Data Inflasi Pengeluar AS (8.30 Malam) – Data indeks harga pengeluar (PPI) AS akan diperhatikan untuk pasaran menilai perubahan harga barangan dan perkhidmatan dari peringkat pengeluar kepada pengguna. Ramalan untuk bacaan Mei adalah sedikit menurun berbanding bulan sebelumnya.
JUMAAT (14 Jun 2024)
Mesyuarat Polisi BOJ (Sesi Asia) – Bank pusat Jepun dijangka akan mengekalkan kadar faedah di paras 0.10% untuk kali kedua selepas menaikkannya dari paras negatif pada mesyuarat Mac lalu. Sebarang petunjuk baru terhadap dasar monetari akan diperhatikan menerusi ucapan susulan oleh gabenor.
Data Sentimen Pengguna AS (10.00 Malam) – Universiti Michigan akan melaporkan tinjauan sentimen pengguna yang mengukur tahap keyakinan kewangan yang boleh memberi isyarat terhadap perbelanjaan dan aktiviti ekonomi di AS.