8,000 Pesawat Jumbo Diperlukan Hantar Vaksin Covid-19

523

Industri penerbangan menjangkakan kira-kira 8,000 pesawat bersaiz jumbo diperlukan untuk menghantar vaksin Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pesawat Boeing 747 berkemungkinan digunakan bagi tujuan itu.

Vaksin Covid-19 masih belum dihasilkan lagi tetapi IATA telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan, pihak lapangan terbang, badan kesihatan global dan firma-firma dadah berhubung pelan berkenaan.

Program pengagihan itu menjangkakan seorang manusia hanya memerlukan satu dos vaksin sahaja.

“Penghantaran vaksin Covid-19 dengan selamat akan menjadi misi paling besar bagi industri kargo udara global pada kurun ini. Tetapi ia tidak akan berlaku tanpa perancangan yang teliti dan ini adalah masa yang sesuai untuk merancang,” kata Ketua Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

Bagaimanapun, tidak semua pesawat sesuai digunakan untuk menghantar vaksin kerana suhu sesuai dalam pesawat untuk penghantaran ubat-ubatan adalah antara 2 dan 8 darjah Celcius.

Selain itu, penerbangan ke beberapa lokasi termasuklah sesetengah kawasan di Asia Tenggara yang tidak mempunyai kemampuan untuk menghasilkan vaksin adalah penting.

Namun, penghantaran vaksin di sekitar Afrika mungkin sukar buat masa ini kerana kapasiti kargo yang tidak mencukupi, saiz rantau tersebut dan kesukaran untuk melintasi setiap sempadan.

Setakat ini, kira-kira 140 vaksin masih diuji di peringkat awal dan lebih 20 vaksin sudah diuji kepada manusia.

IATA turut menggesa semua kerajaan di dunia agar memulakan perancangan teliti bagi memastikan mereka bersiap sedia sebaik sahaja vaksin diluluskan dan diedarkan.

“Vaksin adalah komoditi yang bernilai tinggi. Perancangan teliti perlu dijalankan bagi memastikan penghantaran barang kekal selamat daripada penipuan dan kecurian,” kata IATA.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat