Adakah Donald Trump Akan Mengorbankan Rundingan Dagangnya Dengan China?

151

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dilaporkan telah meluluskan dua rang undang-undang yang diserahkan oleh Senat semalam, dengan Presiden AS Donald Trump dijangka akan menandatanganinya walaupun perjanjian perdagangan AS-China masih samar.

Setelah diluluskan oleh ahli Dewan dengan undian sokongan 417-1, Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong tersebut dihantar ke White House. Ia perlu mendapatkan kelulusan daripada Donald Trump untuk menjadikannya sebagai undang-undang yang sah.

Donald Trump kini mempunyai masa selama 10 hari sahaja untuk menandatangani rang undang-undang tersebut, melainkan beliau memilih untuk menggunakan kuasa vetonya. Namun begitu, dengan kelulusan sebulat suara daripada Senat dan Dewan Perwakilan, Trump mungkin tidak dapat menggunakannya.

Menurut laporan Reuters yang memetik kata-kata daripada orang yang biasa dengan perkara itu, Trump dikatakan akan menandatanganinya. Andaian ini dikuatkan lagi apabila Trump tidak menjawab pertanyaan pemberita mengenai sama ada beliau akan menandatangani rang undang-undang tersebut atau tidak.

Undang-undang ini memerlukan pengesahan Jabatan Negara sekurang-kurangnya sekali setahun bahawa Hong Kong mengekalkan autonomi yang mencukupi untuk melayakkan pertimbangan dagangan khas AS yang akan membantu Hong Kong menjadi pusat kewangan dunia.

Selain itu, rang undang-undang ini juga menyediakan sekatan ke atas pegawai yang bertanggungjawab dalam melemahkan kebebasan dan autonomi di Hong Kong.

Sementara itu, Max Baucus yang merupakan bekas duta AS di China, memberitahu hubungan AS dan China akan bertambah buruk jika Donald Trump menandatangani rang undang-undang selain turut berpendapat bahawa ia tidak akan membantu penunjuk perasaan mencapai matlamat mereka.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat