Aduh, Pancit! Ekuiti Buat Senaman Jantung Untuk Pelabur

102

Momentum lantunan pasaran ekuiti semalam gagal diteruskan dengan kebimbangan kenaikan kadar faedah agresif oleh Federal Reserve (Fed) dalam membendung inflasi boleh menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan situasi terkini memaksa pelabur untuk menilai semula risiko kemerosotan dalam pasaran mata wang dan hutang global.

Rentetan itu, carta Wall Street S&P 500 jatuh 2.1% ke paras terendah baru pada 3,640.47 sementara Nasdaq Composite susut 2.84%  ke paras terendah 2022 pada 10,737.51 dan Dow Jones Industrial turun 1.54% pada 29,225.61.

Turut menjadi penyebab kejatuhan ekuiti adalah penyambungan penjualan hasil Perbendaharaan AS selepas Fed tidak memberi gambaran untuk memperlahankan kenaikan kadar dalam membendung inflasi.

Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS berada pada paras 3.789% ketika sesi penutupan dagangan.

Ulas Phil Blancato dari Ladenburg Thalmann Asset Management, penjualan ekuiti adalah kerana ketakutan utama pasaran kini tertumpu kepada tindakan Fed yang akan mendorong kepada kemelesetan termasuk penurunan pendapatan.

Sungguhpun begitu, berita baiknya adalah keluaran dalam negara kasar (GDP) AS suku ke-2 tidak berubah dan tuntutan pengangguran juga menurun.

Beralih ke rantau Asia, Nikkei 225 Jepun susut 1.32% sementara Topix jatuh 0.87% dan S&P/ASX 200 Australia hilang 0.48%.

Indeks Kospi Korea Selatan turun 1% dan Kosdaq susut 1.13% tatkala tolok meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun turun 0.15%.

Terang penganalisis ANZ Research dalam notanya, krisis geopolitik dan tekanan inflasi telah mengurangkan minat pada aset berisiko apabila jangkaan untuk pertumbuhan lemah termasuk kos pendanaan yang tinggi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat