Securities Exchange and Commission (SEC) akhirnya telah mendakwa pengasas BitConnect kerana didapati telah menipu ribuan pelabur dengan jumlah $2 bilion (sekitar RM8.3 bilion), termasuk menjalankan penawaran pelaburan tidak berdaftar.
Pengasas BitConnect, Satish Kumbhani telah menipu para pelaburnya tentang kemampuan token kripto BitConnect yang mampu memberi keuntungan sehingga 40% melalui “volatility software trading bot”, sedangkan bot tersebut tidak wujud.
Pada masa yang sama, SEC turut mendakwa seorang promoter, Glenn Arcaro kerana telah menerima lebih $24 juta dalam komisen rujukan (commision referral) melalui BitConnect.
Sementara itu, lagi lima individu yang terlibat dalam skim penipuan ini telah turut didakwa pada Mei lalu.
BitConnect diasaskan pada 2016, turut melancarkan token natif – BitConnect Coin yang dikatakan boleh ditukar kepada Bitcoin (BTC).
Melalui program pinjaman yang ditawarkan BitConnect Coin, sebanyak 40% keuntungan bulan dan 3,700% keuntungan tahunan mampu diperoleh menggunakan “volatility software trading bot”.
Sebaliknya berlaku apabila BitConnect Coin menjunam 92% pada 16 Januari 2018, menyebabkan para pelabur berputih mata.
Penipuan BitConnect ini juga disamakan sebagai skim ponzi kerana pelabur dibayar dengan wang yang diperoleh daripada pelabur baru.