Aktiviti Ekonomi Semakin Perlahan Jadi Ancaman Buat China

366

Bacaan terbaru beberapa siri data ekonomi China yang diterbitkan pada sesi Asia sebelum ini telah menambahkan lagi bukti bahawa ekonomi di negara itu semakin perlahan.

Data tumpuan utama pasaran, jualan runcit China meleset daripada jangkaan dengan kenaikan hanya sebanyak 3.9% pada bulan November berbanding 4.6%. Bacaan ini juga dilihat turun daripada angka yang dicatatkan sebelumnya sebanyak 4.9%.

Menurut Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS), penurunan ini berlaku di tengah kejatuhan dalam penjualan kereta yang berterusan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, walaupun terdapat acara jualan tahunan ‘Single’s Day’ atau 11.11 pada awal November.

Sementara itu, pelabur turut diperlihatkan dengan data keluaran perindustrian yang meningkat 3.8% daripada 3.5% pada Oktober dan melebihi 3.7% yang diramalkan oleh pasaran.

Pertumbuhan dalam pelaburan aset tetap pula berkurangan kepada 5.2% daripada 6.1% yang direkodkan sebelumnya. Pelaburan hartanah meningkat sebanyak 6% dalam tempoh sama, merosot daripada 7.2% sebelumnya.

Angka-angka yang ditunjukkan daripada data terbaru menyerlahkan tekanan ke atas ekonomi daripada sektor hartanah dan cabaran yang dihadapi kerajaan China dalam menstabilkan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Penularan terbaru Covid-19 sedikit merencatkan aktiviti ekonomi China berikutan polisi ‘sifar Covid’ yang dipegang oleh kerajaan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat