Amerika Diancam ‘Default’ Jika Gagal Naikkan Siling Hutang!

825

Amerika Syarikat kini bagai telur di hujung tanduk susulan amaran Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen bahawa negara itu mungkin mengalami ‘default’ jika siling hutang (debt ceiling) gagal dinaikkan sebelum 1 Jun.

Hal ini kerana, Republikan dan Demokrat masih jauh lagi daripada mencapai kata sepakat dalam perihal tersebut.

Siling hutang ialah had jumlah wang yang boleh dipinjam oleh kerajaan AS untuk membayar perkhidmatan seperti keselamatan sosial, kesihatan dan tentera.

Jika gagal dinaikkan, AS mungkin tidak mempunyai wang untuk membiayai perkhidmatan tersebut.

Dalam konteks ini, Kongres bertanggungjawab untuk menetapkan had hutang, yang kini berjumlah $31.4 trilion. Ia telah dinaikkan sebanyak 78 kali sejak 1960 di bawah kedua-dua presiden Demokrat dan Republikan.

Pada 26 April, Republikan telah meluluskan rang undang-undang di Dewan untuk menaikkan siling hutang sebanyak $1.5 trilion tetapi menuntut $4.8 trilion dalam pemotongan perbelanjaan kerajaan.

Namun, memandangkan ia akan menyekatkan kepentingan Demokrat, parti pimpinan Presiden Joe Biden itu enggan merundingkan pemotongan perbelanjaan.

Dengan Amerika berisiko untuk menghadapi default, ia sekali gus memberi tekanan buat Demokrat untuk bersetuju terhadap cadangan tersebut.

Ekoran itu, Presiden Biden memanggil empat pemimpin tertinggi Kongres ke White House minggu depan untuk membincangkan isu demikian.

Sekiranya Amerika Syarikat mengalami default, ia boleh menyebabkan ‘malapetaka’ ke atas ekonomi AS sekali gus menjejaskan kestabilan kewangan global, menurut Janet Yellen.

Ia juga boleh menyebabkan pelabur hilang kepercayaan terhadap dolar AS, menyebabkan ekonomi lemah dengan cepat, di mana pemotongan pekerjaan akan berlaku dan kerajaan persekutuan tidak dapat meneruskan semua perkhidmatannya..

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat