Amerika Syarikat Dan China Berjaya Capai Kesepakatan Dalam Perjanjian Dagang?

502

Amerika Syarikat dan China dilaporkan telah mencapai kesepakatan perdagangan dalam perjanjian fasa pertama mereka, menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu dengan mengatakan kenyataan rasmi akan diumumkan oleh White House tidak lama lagi.

Perunding perdagangan daripada kedua-dua negara dikatakan telah mencapai kesepakatan dalam perjanjian tersebut, dan kini ia memerlukan Presiden AS Donald Trump untuk menandatanganinya.

Laporan tersebut kemudiannya telah dikuatkan lagi dengan kenyataan Trump melalui ciapan di laman twitter beliau yang menyatakan, “Perjanjian besar dengan China semakin hampir. Mereka inginkannya, begitu juga dengan kami!”

Selain itu, White House juga dilaporkan telah bersetuju untuk mengurangkan beberapa tarif sedia ada ke atas barangan import China bernilai $360 bilion manakala tarif yang akan berkuatkuasa pada 15 Disember akan ditangguh.

Sementara itu sebagai balasan kepada penangguhan tarif tersebut, China memberikan persetujuan mereka untuk membeli barangan pertanian Amerika Syarikat bernilai $50 bilion pada tahun 2020, dua kali ganda daripada jumlah yang dibeli pada 2017 iaitu sebelum perang dagang bermula.

Perkembangan yang optimis tersebut telah mengangkat sentimen buat matawang dolar Amerika untuk diniagakan tinggi berbanding matawang safe-haven yen pada sesi Asia.

Susulan daripada laporan itu, White House masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya, menimbulkan persoalan sama ada benar persetujuan antara kedua-dua negara tersebut telah dicapai.

Jika tarif pada 15 Disember terus dilaksanakan, China mungkin melakukan perkara yang sama kepada Amerika Syarikat. Ini kerana, pada Ogos lalu, negara itu telah mengumumkan akan mengenakan 5% dan 10% tambahan tarif ke atas barangan AS bernilai $75 bilion dalam dua peringkat, di mana peringkat kedua akan berkuatkuasa pada 15 Disember ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat