Apa Cerita Pasaran Saham Selepas CNY?

364

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan pagi hari ini, mencecah paras 1,600 setelah saham Wall Street melonjak pada Jumaat lepas dengan Indeks Komposit S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan rekod ketika penutupan urus niaga.

Pada jam 9.12 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.14 mata kepada 1,611.56 daripada 1,599.42 ketika ditutup Khamis lepas.

Lapor Bernama, pada pembukaan, indeks dibuka 7.58 mata lebih tinggi pada 1,607.00.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 453 berbalas 174 manakala 366 kaunter tidak berubah, 1,168 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 771.39 juta unit bernilai RM370.47 juta.

Jumaat lepas, indeks S&P 500 mengukuh 0.47%, Dow Jones meningkat 0.09% dan Nasdaq lebih tinggi sebanyak 0.5%.

Dalam satu kenyataan hari ini, Public Investment Bank berkata, para pelabur mempertimbangkan prospek akan peningkatan rangsangan fiskal serta kemungkinan kadar inflasi yang lebih tinggi.

“Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen pada Jumaat lalu memberitahu para menteri kewangan dan gabenor bank pusat dari negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) agar menyokong sepenuhnya pelan fiskal bagi meningkatkan pemulihan ekonomi yang berkekalan,” ujarnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM8.02, PChem meningkat 11 sen kepada RM7.61, TM lebih tinggi 16 sen kepada RM6.76, Tenaga meningkat 10 sen kepada RM10.16 dan Axiata mengukuh lima sen kepada RM3.48.

Saham paling cergas, Dagang Nexchange naik 2.5 sen kepada 45.5 sen, Techna-X meningkat 1.5 sen kepada 15 sen, Luster Industries dan Velesto masing-masing menambah setengah sen kepada 23 sen dan 14 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 84.75 mata kepada 11,746.57, Indeks FBMT 100 mengembang 79.93 mata kepada 11,459.97 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 103.69 mata pada 13,223.94.

FBM 70 lebih tinggi 82.46 mata kepada 15,354.11 dan FBM ACE meningkat 13.00 mata kepada 10,896.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 74.37 mata kepada 15,112.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.4 mata kepada 181.97 dan Indeks Perladangan mengembang 43.64 mata kepada 7,189.33.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat