Apa Jadi Pada Pasaran Matawang Selepas Digegar Oleh Powell?

940

Matawang gergasi US dolar masih didagangkan rendah berbanding kebanyakan matawang utama selepas kecewa dengan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang gagal memberi petunjuk jelas mengenai garis masa untuk pengurangan pembelian bon.

Walaupun Powell mengisyaratkan bank pusat mungkin akan mula mengurangkan pembelian bon pada akhir tahun ini, tetapi tiada petanda jelas bila ia akan dilaksanakan dan beliau juga masih melihat kenaikan inflasi hanya sementara.

Kenyataan Powell yang lebih berhati-hati mengenai pengurangan, menunjukkan bahawa bank pusat AS masih tidak tergesa-gesa melakukan penarikan semula rangsangan, lebih-lebih lagi dengan risiko dari varian delta yang baru timbul.

Pada awal sesi Eropah, indeks dolar diniagakan di sekitar paras terendah dua minggu pada 92.70 berbanding sekumpulan matawang utama.

Hasil bon AS 10 tahun pula terus menyusut rendah ke tahap 1.30%, memberi peluang buat matawang yen Jepun untuk diniagakan lebih tinggi berbanding US dolar.

Matawang komoditi, terutama dolar Aussie dan New Zealand terus diniagakan mengukuh walaupun pergerakan matawang pada hari ini sedikit perlahan. Sementara dolar Kanada pula stabil di tengah pengukuhan harga minyak.

Menjadi tumpuan dolar Aussie dan kiwi minggu ini adalah penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan China pada sesi Asia esok, dan laporan pertumbuhan ekonomi Australia pada hari Rabu yang dijangka menunjukkan penurunan pada suku kedua.

Sementara itu, dagangan matawang pound agak terbatas pada hari ini berikutan penutupan bank-bank di UK sempena cuti musim panas. Pound sterling terus didagangkan stabil di sekitar harga 1.37580 berbanding US dolar setelah mencatatkan kenaikan 0.4% pada akhir minggu lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat