Apa Khabar Bursa Malaysia Pada Permulaan Minggu?

200

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini sejajar dengan prestasi di bursa serantau yang lain susukan peningkatan keyakinan terhadap perundingan mengenai pakej rangsangan AS.

Pada pukul 9.02 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.17 mata atau 0.27 peratus kepada 1,508.01 daripada 1,503.84 ketika ditutup pada Jumaat petang.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 3.37 mata lebih tinggi pada 1,507.21.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi rugi dengan 309 berbalas 88 manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,464 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 390.21 juta unit bernilai RM148.76 juta.

Di pasaran serantau, Nikkei Jepun mengukuh 1.08 peratus kepada 23,664.25, Indeks Komposit Shanghai menokok 0.13 peratus kepada 3,336.36 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan lebih tinggi sebanyak 0.38 peratus kepada 2,350.34.

Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan penurunan, lantunan semula dijangka berlaku kerana para pelabur akan mula membeli saham berharga murah.

“Pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China untuk suku ketiga 2020 juga boleh menjadi petunjuk utama kepada rentak pergerakan pemulihan ekonomi global dengan hanya dua digit kes baharu dilaporkan setiap hari sejak April 2020,” katanya.

Untuk fokus sektor, ia berkata dengan negara-negara seluruh dunia masih lagi mencatatkan kes harian baharu COVID-19 yang lebih tinggi, sektor penjagaan kesihatan akan terus menjadi tumpuan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM7.16, Top Glove meningkat 14 sen kepada RM9.39, Hartalega memperoleh lapan sen kepada RM18.46 dan Public Bank empat sen lebih tinggi pada RM15.90.

Kaunter paling cergas dipimpin oleh AT Systematization yang naik satu sen kepada 9.5 sen, Mah Sing menokok 11.5 sen kepada RM1.06 sementara kedua Luster dan warannya masing-masing menambah 1.5 sen dan dua sen kepada 19 sen dan 9.5 sen.

Saham paling untung termasuk Nestle, menambah 40 sen kepada RM139.80, G3 Global meningkat 27 sen kepada RM3.27, Scientex menokok 16 sen kepada RM11.96 dan Rubberex lebih tinggi sebanyak 14 sen kepada RM2.71.

Antara saham paling rugi ialah Yinson turun 25 sen kepada RM5.18, Melati Ehsan jatuh lapan sen kepada 39.5 sen dan VS Industry berkurangan empat sen pada RM2.48.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 32.77 mata kepada 10,970.84, Indeks FBMT 100 meningkat 29.96 mata kepada 10,770.18 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 43.18 mata kepada 13,183.79.

FBM 70 menambah 41.08 mata kepada 14,612.79 dan FBM ACE melonjak 93.40 mata kepada 11,065.28.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.96 mata kepada 12,436.63, Indeks Perladangan naik 10.43 mata kepada 6,868.94 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh keuntungan kecil sebanyak 0.48 mata kepada 144.08.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat