US dolar terus didagangkan suram selepas berikutan jangkaan yang menurun terhadap laporan pekerjaan NFP AS pada hari esok, setelah diperlihatkan oleh data ADP yang mengecewakan.
Bacaan data ADP menunjukkan pertambahan pekerjaan sektor swasta yang sangat lemah dengan hanya penambahan sebanyak 374,000 dibuat pada bulan Ogos. Ini ditekan lagi oleh sub-komponen pekerjaan dalam laporan pembuatan tinjauan ISM yang menurun, walaupun secara keseluruhan data meningkat.
Pospek yang suram ini menekan dagangan dolar greenback untuk terus didagangkan lemah berbanding kebanyakan matawang utama, di mana indeks dolar diniagakan sekitar harga 92.43.
Sementara menantikan penerbitan laporan NFP, bacaan tuntutan pengangguran AS yang akan dikeluarkan malam ini akan menjadi tumpuan pelabur terlebih dahulu, di mana ia dijangka akan terus menunjukkan penurunan berbanding minggu sebelumnya.
Matawang Asia, dolar Aussie dan New Zealand terus memaparkan prestasi terbaik mereka dengan meningkat lebih tinggi pada sesi dagangan hari ini, memanfaatkan kelemahan greenback.
Selain itu, dolar Kanada didagangkan stabil setelah harga minyak kembali menunjukkan pemulihan selepas kejatuhan sebelumnya berikutan keputusan OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran.
Dalam pada itu, matawang euro diperdagangkan mengukuh berikutan US dolar yang lemah, di samping turut disokong oleh spekulasi bahawa Bank Pusat Eropah (ECB) akan mengurangkan rangsangan berikutan angka inflasi Zon Eropah yang tinggi.
Matawang pound juga meningkat dan terus berusaha untuk mencapai harga 1.38000 berbanding US dolar. Kes coronavirus masih menunjukkan peningkatan di UK, tetapi para pelabur mula mengabaikan kenaikan tersebut.