Bacaan Kadar Pengangguran Australia Memberangsangkan – Adakah Bakal Pengaruhi Keputusan RBA?

260

Dolar Aussie melonjak berbanding US dolar selepas data pekerjaan Australia yang diterbitkan hari ini menunjukkan bacaan memberangsangkan dalam laporan kadar pengangguran pada bulan Disember.

Kadar pengangguran Australia susut kepada 5.1% berbanding jangkaan pasaran dan bacaan pada bulan sebelumnya pada 5.2%. Ini merupakan bacaan terendah yang pernah dicatatkan dalam tempoh 9 bulan.

Data yang diterbitkan hari ini juga memaparkan ekonomi Australia telah menambah 28,900 pekerjaan pada Disember daripada penambahan yang kukuh sebanyak 38,400 pada November, dan melebihi jangkaan pasaran untuk kenaikan sebanyak 15,000.

Walaupun angka pekerjaan baru separuh masa dan sepenuh masa menurun sebanyak 300, tetapi pelabur tetap melihat bacaan kadar pengangguran yang memberangsangkan ini berpotensi untuk mengurangkan jangkaan penurunan kadar faedah.

Jangkaan pemain pasaran kini menurun kepada 20% peluang penurunan kadar di mesyuarat dasar RBA pada Februari, berbanding 50% sebelum data pekerjaan dikeluarkan.

Bank pusat sebelum ini mengatakan kadar pengganguran perlu menurun sekurang-kurangnya 4.5% untuk meningkatkan pertumbuhan upah yang masih kekal pada 2.3% dalam tempoh lebih setahun.

Pada mesyuarat dasar Disember, isu mengenai risiko terhadap pengangguran turut ditekankan oleh RBA selain memberitahu bahawa dasar monetari akan dikaji semula pada Februari sekiranya prospek ekonomi semakin merosot.

Pasaran sebelum ini menjangkakan RBA akan meneruskan pelonggaran dalam dasar monetari bank pusat itu memandangkan ekonomi Australia kini turut terjejas disebabkan kebakaran hutan yang semakin memburuk di negara itu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat