Bacaan NFP Jauh Panggang Dari Api, USD Parah!

549

Tanpa dijangka, bacaan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang diharapkan meningkat dengan kukuh pada bulan April telah mengecewakan pasaran dan sekali gus membenam dagangan US dolar lebih rendah.

Pada pembukaan sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama didagangkan di sekitar paras terendah lebih dua bulan pada 90.20.

Pada bulan April, ekonomi AS dilaporkan hanya mencipta 226,000 pekerjaan, jauh lebih rendah daripada kenaikan hampir 1 juta yang telah diramalkan oleh pasaran.

Turut mengejutkan pasaran adalah kenaikan dalam kadar pengangguran yang meningkat pada 6.1% daripada 6.0% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, dan juga tersasar daripada jangkaan untuk menurun pada 5.8%.

Bacaan suram ini membuktikan kenyataan Federal Reserve (Fed) sebelum ini yang mengatakan bahawa pemulihan ekonomi masih bergelombang dan masih jauh untuk lengkap sepenuhnya.

Hal ini menyebabkan harapan pasaran untuk Fed meningkatkan kadar faedah lebih awal dari dijangkakan semakin lenyap.

Kelemahan US dolar telah memberi peluang buat dagangan matawang utama untuk menokok lebih tinggi, terutamanya pound sterling yang kembali melonjak ke atas paras harga 1.4000 iaitu paling tinggi sejak akhir Februari.

Sementara euro pula menyentuh paras tertinggi lebih dua bulan dengan didagangkan menguat di sekitar harga 1.21700 pada awal sesi Asia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat