Bahaya Kekalkan Kadar Faedah Tinggi Terlalu Lama? Ini Petunjuk Terbaru Dari Powell!

506

Tumpuan pasaran pada sesi New York semalam terarah kepada testimoni Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell di hadapan Kongres Amerika Syarikat (AS) setelah menyampaikan laporan polisi monetari semi tahunan.

Pelabur memberi perhatian penuh terhadap kenyataan yang dilontarkan Powell dalam mencari petunjuk terbaru terhadap hala tuju dasar monetari Fed.

Dalam nada berwaspada, Powell seakan menyatakan persediaan untuk beralih kepada pelonggaran dasar apabila menyatakan bahawa tindakan mengekalkan kadar faedah yang tinggi terlalu lama boleh memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi.

Namun, beliau masih mengekalkan pandangan sebelum ini risiko untuk melaksanakan langkah pemotongan kadar faedah pada waktu yang tidak tepat.

Menurut Powell, data-data terbaru masih tidak memberi keyakinan yang kukuh untuk perubahan dasar monetari mereka.

Sehinggalah inflasi menuju ke sasaran dan data petunjuk terbaru selepas ini memberikan keyakinan besar, barulah Fed akan mempertimbangkan untuk pemotongan kadar faedah.

Powell sedar bahawa mereka berdepan risiko dari dua arah, iaitu risiko mengekalkan kadar faedah yang tinggi terlalu lama dan risiko menurunkan kadar faedah terlalu awal.

Pelonggaran dasar yang terlalu cepat dan terlalu banyak boleh menjejaskan perjalanan proses inflasi menuju ke sasaran 2% bank pusat, sementara pelonggaran yang perlahan boleh melemahkan lagi ekonomi.

Kesimpulannya, pelabur masih lagi tidak mendapat petunjuk berkenaan waktu untuk pelaksanaan langkah pemotongan kadar faedah dari Powell.

Justeru, selagi itu akan terdapat pembelian ke atas US dolar berlaku dalam pasaran yang akan menyokong peningkatan nilai mata wang tersebut.

Petunjuk berikutnya akan dinilai menerusi terbitan data inflasi AS pada Khamis dengan jangkaan bakal berlaku penurunan angka data untuk bulan Jun.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat