Bank of England Kekalkan Kadar Faedah, Mark Carney Beri Harapan Terhadap Sterling

556

Bank of England (BoE) mengumumkan keputusan dasar monetari terbaru pada malam tadi di mana seperti yang telah dijangkakan, kadar faedah telah dikekalkan di paras 0.75% oleh bank pusat. Susulan daripada itu, pasaran memberi tumpuan terhadap tindakan dovish daripada BoE yang telah menurunkan unjuran pertumbuhan dan inflasi. Jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah oleh bank pusat England sebelum tahun 2019 berakhir, telah menurun 41% berbanding 50% sebelum ini menjelang keputusan undian penetapan kadar semalam. BoE menjelaskan Britain berhadapan kadar pertumbuhan ekonomi yang paling lemah dalam tempoh 10 tahun pada 2019, dipercayai punca utama yang memberi kesan adalah daripada ketidaktentuan Brexit dan juga pertumbuhan global yang turut bergerak perlahan, namun masih berpendirian bahawa kadar faedah bakal dinaikkan jika perjanjian Brexit selesai nanti.

Sterling jatuh ke paras terendah berbanding dolar USD sejak 22 Januari lalu namun kembali menunjukkan pengukuhan nilainya kembali selepas ucapan daripada Gabenor BoE, Mark Carney yang memberi amaran terhadap pengunduran Brexit tanpa perjanjian. Beliau juga menyatakan ketidaktentuan yang berlarutan ini akan terus menjejaskan ekonomi namun penyampaian mesej beliau dilihat bersifat optimis, terutamanya jika perjanjian tersebut dibatalkan seterusnya bakal memacu kembali pengukuhan GBP dalam pasaran.

EURO terus didagangkan lemah berbanding USD pada dagangan Khamis semalam berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemerosoton pada unjuran pertumbuhan di zon Eropah. Suruhanjaya Eropah telah menurunkan unjuran secara mendadak bagi pertumbuhan ekonomi di zon Eropah untuk tahun ini dan selepasnya, kerana mengandaikan gabungan terbesar negara-negara tersebut akan terkesan oleh ketegangan perdagangan global dan juga cabaran domestik. EURO didagangkan 0.11% lebih rendah berbanding USD dan ditekankan lagi dengan data pengeluaran industri di Jerman yang merekodkan kejatuhan lebih rendah daripada jangkaan untuk bacaan bulan Disember.

Matawang dolar USD pula didagangkan di sekitar paras tertinggi dua minggu pada Jumaat selepas permintaan pelabur terhadap USD kembali meningkat ekoran daripada rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China ditangguhkan serta kebimbangan pada pertumbuhan global yang perlahan. Pelabur resah setelah komen daripada Presiden Donald Trump yang mengatakan beliau tidak bercadang untuk bertemu dengan rakan sejawatannya dari China, Presiden Xi Jinping sebelum 1 Mac ini untuk medapatkan kesepakatan dalam perjanjian perdagangan.

Perkembangan pada matawang komoditi, dolar AUD terus mengalami kejatuhan pada nilai dagangannya pada sesi Asia hari ini setelah bank pusat Australia telah menurunkan unjuran data GDP (KDNK) daripada 3.25% kepada 2.5%. Sementara dolar CAD juga turut didagangkan lemah menyambung penurunan pada dagangan semalam. Tumpuan untuk Loonie pada hari ini adalah pada laporan data pekerjaan yang akan dikeluarkan pada jam 9.30 malam ini yang dijangka lemah ekoran bacaan pada data IVEY PMI sebelum ini yang turut mencatatkan penurunan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat