Beberapa Sektor Jadi Tumpuan Pelabur Hari Ini

682

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, sejajar dengan prestasi pasaran serantau, didorong oleh sentimen pasaran yang lebih baik berikutan kebimbangan terhadap inflasi tinggi Amerika Syarikat (AS) kian reda, menurut para peniaga.

Pada pukul 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.91 mata kepada 1,600.19 berbanding 1,597.71 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks dibuka 1.53 mata lebih tinggi pada 1,599.81.

Peningkatan indek komposit sebahagian besarnya disokong oleh kenaikan saham sarung tangan dan saham wajaran tinggi terpilih yang lain.

Supermax dan Top Glove meningkat 6 sen masing-masing kepada RM4.66 serta RM5.19 manakala Hartalega melonjak 3 sen kepada RM9.50.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 212 berbanding 180, manakala 309 kaunter tidak berubah, 1,476 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 265.65 juta saham bernilai RM158.26 juta.

Menurut Malacca Securities dalam notanya, penularan Covid-19 di negara ini yang menunjukkan aliran peningkatan, keseluruhan sentimen pasaran mungkin kekal gelisah.

Walau bagaimanapun, lonjakan harga minyak mentah di tengah-tengah keyakinan permintaan akan kembali selepas sekatan perjalanan, memberikan sedikit kelegaan terutamanya kepada penggiat minyak dan gas.

“Kami percaya kaunter minyak dan gas akan berada di bawah radar peniaga ekoran kenaikan harga minyak.

“Permintaan harian terhadap makanan dan pembungkusan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, mungkin menarik minat belian dalam sektor pengguna serta pembungkusan,” ujarnya sambil memaklumkan sektor penjagaan kesihatan turut menjadi tumpuan memandangkan Malaysia berada di ambang gelombang keempat Covid-19 susulan peningkatan kes baharu dan aktif.

Kes baharu Covid-19 di negara ini menokok kepada 1,889 semalam berbanding 1,767 pada Selasa lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara sebanyak 365,829 kes.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.33, Petronas Chemicals dan Tenaga meningkat empat sen masing-masing kepada RM7.92 dan RM10.20, manakala Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM4.20 dan RM5.40.

Dalam kalangan saham aktif, AT Sytematization dan Asia Poly meningkat setengah sen masing-masing kepada 10 sen dan 41 sen, Widad naik satu sen kepada 54.5 sen, manakala Ucrest tidak berubah pada 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas tinggi 15.76 mata kepada 11,850.6, Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.76 mata kepada 13,225.47, FBMT 100 naik 11.99 mata kepada 11,494.63, FBM 70 menambah 9.87 mata kepada 15,848.38 dan FBM ACE meningkat 85.79 mata kepada 9,419.29.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.57 mata kepada 195.49, Indeks Perladangan naik 1.2 mata kepada 6,970.02 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 2.96 mata kepada 15,124.19.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat