Berhati-Hati Melabur Dalam Sektor Ini!

785

Kenanga Research mengekalkan cadangan ‘underweight’ terhadap sektor media berikutan pelabur cenderung untuk kekal selektif dalam sektor berkenaan kerana nisbah risiko melebihi ganjaran susulan ketidaktentuan keadaan pandemik Covid-19 dan kesan sosioekonominya.

Kenanga berkata Astro (M) Holdings Bhd yang mempunyai rating ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) bernilai 83 sen, terus menjadi pilihan utama bagi sektor media berikutan hasil dividennya yang tinggi sebanyak 7% dan lebih berdaya tahan kerana bisnes modelnya yang berasaskan langganan pelanggan berbanding media lain yang bergantung sepenuhnya kepada pengiklanan.

Pada pukul 11 pagi, saham Astro dilihat tidak berubah pada 76.5 sen, menjadikan pasaran modal syarikat terbabit kepada RM3.99 bilion.

“Pelabur perlu berhati-hati dari segi peningkatan kos kandungan rancangan yang mungkin muncul ketika tahun kewangan 2022 dan 2023 (FY22/FY23) susulan penangguhan acara sukan utama dunia pada tahun-tahun berkenaan.

Menurut penganalisis Kenanga Research, Clement Chua, pihaknya tidak menjangkakan industri media mencatat peningkatan yang signifikan dalam perbelanjaan pengiklanan (adex) pada suku ketiga tahun ini.

Keadaan itu dijamin oleh selera syarikat korporat yang lebih berhati-hati berikutan penurunan keseluruhan perbelanjaan pengguna terutamanya di lokasi seperti pusat membeli-belah ekoran kawalan pergerakan yang masih dilaksanakan, penggunaan digital yang tinggi serta kebimbangan orang ramai terhadap gelombang baharu Covid-19.

“Tambahan itu, tempoh moratorium yang tamat baru-baru ini akan memberi kesan lebih buruk kepada perbelanjaan pengguna di saat rakyat dibebani dengan isu pendapatan utama. Berdasarkan statistik jumlah kasar adex yang dikeluarkan oleh Nielsen, angka 1HCY20 adalah 20% lebih rendah manakala 2QCY20 dilihat lemah berbanding 1QCY20,” ujar Chua.

Ujar Chua lagi, syarikat yang terlibat dalam e-commerce menikmati prestasi yang lebih baik susulan peningkatan penggunaan digital dalam kalangan pengguna.

“Kami menjangkakan trend ini akan bertahan dalam tempoh beberapa bulan lagi selepas pengguna sebelum in sudah terdedah kepada mudahnya pembelian menerusi atas talian.

“Kami juga menjangkakan syarikat-syarikat akan mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan pengalaman pengguna selain memperkenalkan lebih banyak penawaran bagi memastikan platform mereka lebih relevan untuk dilawati. Bagaimanapun, segmen tersebut sukar untuk mengatasi segmen pengiklanan,” jelas Chua lagi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat