Para pelabur di sesi Eropah hari ini diperlihatkan dengan penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan dari Zon Eropah dan UK yang menunjukkan bacaan bercampur-campur pada bulan November.
Kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan di Perancis tersasar daripada jangkaan pasaran, dengan mencatatkan penguncupan pada bulan November. Ini merupakan penguncupan paling pantas pernah direkodkan sejak Mei disebabkan sekatan baru yang dilaksanakan telah menjejaskan aktiviti perniagaan dan perkilangan.
Sementara di Jerman, sektor pembuatan masih menunjukkan pengembangan walaupun sedikit menurun daripada bacaan yang direkodkan sebelum ini dan kegiatan perniagaan pula terus mempamerkan penguncupan pada bulan November.
Tuntasnya, keseluruhan aktiviti pembuatan di Eropah masih menunjukkan pengembangan yang lebih baik daripada jangkaan pasaran, namun sektor perkhidmatan pula malangnya terus melemah pada bulan ini.
Menurut IHS Markit, bacaan yang ditunjukkan dalam data keseluruhannya adalah positif, di mana penguncupan terbaru jauh lebih perlahan daripada semasa penutupan sebelumnya, iaitu pada Mac. Keputusan ini menunjukkan bahawa beberapa perniagaan Perancis telah dapat menyesuaikan operasi mereka dengan situasi baru.
Matawang euro yang pada mulanya menunjukkan sedikit penurunan susulan penerbitan data tersebut, kembali didagangkan meningkat disokong oleh laporan positif mengenai vaksin Covid-19.
Selain itu, penerbitan data PMI dari UK turut menghiasi pasaran dengan menyaksikan sektor pembuatan dan perkhidmatan mencatatkan bacaan yang lebih baik daripada dijangkakan walaupun aktiviti perniagaan menguncup pada bulan ini.
Dagangan pound sterling sedikit berubah dengan terus didagangkan menguat di atas paras harga 1.3300 berbanding USD, disokong oleh optimisme pasaran terhadap perkembangan vaksin dan Brexit.