Bitcoin Masih Bergelut Untuk Tembus Paras Harga $40,000

541

Prestasi semasa pasaran kripto pada bulan Mei terus memberi kegusaran dan kebimbangan kepada para pelabur kripto yang ketika ini masih lagi bergelut untuk membuat lonjakan yang lebih tinggi.

Teka-teki kepada para pelabur masih lagi tidak terungkai apabila pada dagangan minggu lalu, Bitcoin hanya membuat sedikit lonjakan untuk menguji rintangan paras $40,000 sebelum membuat penurunan semula untuk menutup dagangan sekitar harga $35,000.

Penurunan yang berlaku pada dagangan bulan Mei didorong oleh kenyataan CEO Tesla Elon Musk yang menyatakan bahawa Tesla akan menghentikan transaksi pembayaran melalui Bitcoin dan China yang telah melarang penggunaan matawang kripto di negara tersebut.

Terbaru, Gabenor Bank of Japan Haruhiko Kuroda pula memberi kritikan kepada Bitcoin bahawa ia bukan kaedah penyelesaian pembayaran sebenar yang terus memberi tekanan kepada harga BTC untuk membuat penurunan semula.

Melihat kepada carta BTC/USDT, pergerakan harga mendatar di paras sekitar $30,000-$40,000 dan masih tidak berjaya untuk memberi isyarat perubahan trend.

Paras $40,000 masih menjadi paras yang sukar untuk ditembusi pada minggu lalu sebelum harga Bitcoin membuat penurunan semula untuk menguji paras harga $35,000 dan mungkin bakal menguji paras sokongan semula sekitar harga $30,000-$32,000.

Ekoran daripada itu, paras SBR (support become resistance) di sekitar harga $40,000 bakal menjadi tumpuan utama kepada para pelabur untuk diuji semula sebagai isyarat awal untuk perubahan trend bullish.

Jika kenaikan harga berjaya melepasi paras harga $40,000, jangkaan kenaikan harga yang lebih tinggi bakal menguji paras SBR seterusnya sekitar $50,000 sebelum menuju paras ketinggian sepanjang masa (ATH) yang pernah dicatatkan pada 14 April sekitar $64,000.

Namun jika harga Bitcoin meneruskan penurunan, paras sokongan sekitar harga $30,000-$32,000 bakal diuji semula dan pelabur akan menilai sama ada zon tersebut mampu untuk menyokong semula kenaikan harga yang lebih agresif.

Sekiranya harga Bitcoin terus mengekalkan corak penurunan, paras harga $25,000 bakal menjadi titik penentu sama ada bakal kembali membuat kenaikan atau bakal menguji paras ketinggian yang pernah dicapai pada tahun 2017 sekitar harga $20,000.

Setakat jam 11.00 pagi waktu tempatan, harga BTC menyusut sebanyak 3% dan bergerak perlahan di paras harga $35,000.

Lihat gambar carta matawang kripto BTC/USDT di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat