Bursa Dibuka Tinggi, PEMERKASA Dorong Sentimen Positif

196

Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Wall Street yang positif susulan pengumuman dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang memihak kepada kadar faedah rendah.

Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat 5.83 mata untuk ditutup kepada 1,630.80 berbanding 1,624.97 sewaktu ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.21 mata lebih tinggi kepada 1,626.18.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 355 kepada 207 manakala 316 kaunter tidak berubah, 1,369 tidak diniagakan and 27 yang lain digantung.

Bernama melaporkan, jumlah dagangan berjumlah 713.02 juta saham bernilai RM218.72 juta.

Malacca Securities yakin bahawa pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion itu yang turut melibatkan beberapa program seperti peningkatan pembiayaan mikro-kredit dan lanjutan subsidi upah akan memperkukuhkan pemulihan ekonomi serta sentimen pasaran pada masa depan.

Kerajan turut berhasrat melaksanakan pendekatan lebih bersasar dalam memerangi pandemik Covid-19 bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara atau di sesuatu negeri.

“Kami percaya bahawa pakej rangsangan ekonomi ini akan memberikan sinar kepada sektor bertemakan pemulihan seperti pelancongan, permainan, penerbangan, perbankan dan pengguna.

“Selain itu, pelabur juga boleh menumpukan kepada kaunter utiliti berikutan kestabilan sektor itu. Sementara itu, peniaga mungkin ingin memberi fokus kepada sektor bertemakan penyusutan seperti hartanah dan pembinaan untuk mencari peluang dagangan,” katanya dalam satu nota hari ini.

Selain itu, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) meningkat semula dengan kukuh apabila Dow (+0.6%) menerajui paras psikologi 33,000 selepas Rizab Persekutuan AS mengekalkan pendirian kadar faedah rendah sekurang-kurangnya sehingga 2023.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, bank pulih daripada penyusutan dengan Public Bank dan CIMB masing-masing naik lima sen kepada RM4.29 dan RM4.56, manakala Maybank meningkat tujuh sen kepada RM8.42.

TM menokok 12 sen kepada RM6.52, Genting menambah lima sen kepada RM5.35, dan PetChem tinggi dua sen kepada RM8.19.

Sementara itu, Top Glove susut empat sen kepada RM5.34 dan Supermax jatuh lima sen kepada RM4.30 selepas meningkat pada Rabu.

Bagi kaunter aktif, Pasukhas turun setengah sen kepada 3.5 sen, Pegasus and AirAsia X masing-masing menokok setengah sen kepada 3.5 sen dan 11 sen, manakala Scomi tinggi satu sen kepada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 35.16 mata kepada 11,958.80, FBMT 100 naik 36.53 mata kepada 11,634.94, dan Indeks FBM Emas Shariah pulih 11.08 mata kepada 13,257.23.

FBM 70 tinggi 29.60 mata kepada 15,736.30 dan FBM ACE naik 102.93 mata kepada 10,705.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 109.16 mata kepada 15,609.12, Indeks Perladangan turun 2.59 mata kepada 7,198.00, dan Indeks Perkhidmatan dan Perindustrian naik 1.0 mata kepada 192.83.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat