Bursa Malaysia Dibuka Tinggi, Pasaran Lebih Berhati-hati Minggu Ini

189

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi tadi selepas menyambung prestasi positif dari Jumaat lepas walaupun pergerakan Wall Street agak mendatar.

Pasaran saham di Amerika Syarikat sebelum ini ditutup hampir tidak berubah berikutan sentimen pendapatan bank yang bercampur-campur bagi mengimbangi kadar inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Pada jam 9 pagi tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.17 mata kepada 1,492.51 daripada 1,487.34 pada Jumaat lepas. Ia dibuka tinggi 0.94 mata kepada 1,488.28.

Melihat secara keseluruhan, pasaran bergerak positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 251 berbanding 159, 284 kaunter tidak berubah, 1,525 tidak diniagakan dan 20 kaunter yang lain digantung. Jumlah dagangan sebanyak 287.94 juta unit yang bernilai RM152.36 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur pada minggu lepas disebabkan pendapatan bank yang lebih rendah daripada jangkaan dengan bacaan inflasi yang rendah.

Beliau menyangka belian saham wajaran tinggi akan berterusan selepas berlakunya pembetulan pada beberapa hari lepas dan menyaksikan indeks berada dalam julat 1,485 – 1,495 dengan meletakkan 1,500 sebagai paras sukar untuk ditembus.

Malacca Securities Sdn Bhd pula berkata sentimen keseluruhan di Bursa Malaysia kekal positif kerana terdapat lima konsortia yang dijangka membentangkan cadangan mereka dalam pembinaan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur – Singapura (KL-SG HSR).

Di pasaran komoditi, pergerakan minyak mentah Brent mencatatkan keuntungan kecil di saat berlakunya peningkatan ketegangan di rantau Laut Merah.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.33, CIMB meningkat empat sen kepada RM5.96, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM10.30 dan Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM6.93 dan Maybank merosot dua sen kepada RM9.04.

Daripada saham aktif, Hong Seng Consolidated naik setengah sen kepada dua sen dan Ekovest menambah dua sen kepada 61 sen manakala SC Estates, Minetech dan Fast Energy dengan masing-masing merosot setengah sen kepada 2.5 sen, 19 sen dan 15.5 sen.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.56 mata kepada 176.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 41.42 mata kepada 16,591.46, Indeks Tenaga menambah 0.46 mata kepada 866.17, Indeks Perladangan menokok 10.49 mata kepada 7,112.42 dan Indeks Hartanah menambah 4.69 mata kepada 897.48.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat