CEO Binance Setuju Dengan IMF Untuk Peraturan Ketat Kripto

170

“Mungkin cara ini dapat elak situasi seperti krisis FTX daripada berlaku lagi.”

Susulan pasaran mata wang kripto mengalami pendarahan secara berterusan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Binance, Changpeng Zhao (CZ) turut tidak ketinggalan dalam mengeluarkan pendapatnya tentang keperluan pengetatan undang-undang terhadap aset digital.

CZ menyatakan persetujuannya terhadap cadangan yang dikemukakan oleh International Monetary Fund (IMF) mengenai skim peraturan kripto.

Ujar beliau, ia akan memberi pelbagai manfaat kepada pelabur dan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan aset digital.

IMF baru-baru ini mengatakan bahawa syarikat yang menyedia perkhidmatan kripto seperti penyimpanan, pemindahan mahupun pertukaran haruslah dilesenkan serta didaftarkan agar tiada berlaku sebarang penipuan.

Ekoran itu, CZ berkata pasaran kripto yang memiliki peraturan kukuh, komprehensif dan konsisten berupaya menyokong kemampanan aset digital secara global.

Namun, syarikat yang mempunyai pelbagai perkhidmatan kripto haruslah dikenakan peraturan yang lebih ketat supaya setiap operasi dapat dijalankan dengan efisien dan jika terdapat sebarang rintangan maka ia perlu dikaji semula oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, para pengeluar stablecoin pula perlu mengikuti piawaian yang ditetapkan memandangkan kebanyakan pelabur mendapatkannya sebagai simpanan nilai, di mana ia akan memberi kesan kepada kestabilan sistem kewangan sekiranya tersilap langkah. 

Secara keseluruhannya, CZ berpandangan pasaran kripto dan penggunanya akan lebih dilindungi apabila ahli politik dan pengawal selia meluaskan skop aktiviti yang dibenarkan dalam peraturan aset digitalnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat