Pengasas bersama dan CEO firma kripto Amerika Syarikat (AS) Circle, Jeremy Allaire menjelaskan keyakinannya terhadap pentadbiran Joe Biden yang akan menyokong industri kripto.
Jelasnya lagi, perhatian yang beralih kepada matawang kripto adalah kerana perubahan infrastruktur semakin berkembang, mendorong AS untuk menjadi lebih bersaing.
Bagaimanapun, setakat ini negara yang masih ditadbir oleh presiden semasa, Donald Trump belum menerima sepenuhnya inovasi tersebut.
Kebanyakan negara juga dilihat teragak-agak untuk mengemukakan rangka peraturan yang mana akan membenarkan firma blockchain baru beroperasi. Tidak hairanlah jika pemain pasaran seperti CEO Ripple, Brad Garlinghouse bercadang untuk memindahkan syarikatnya ke luar negara.
Biden pula sehingga hari ini masih belum menyuarakan pendapatnya mengenai aset kripto termasuk Bitcoin (BTC).
Terdahulu figura itu mencalonkan Janet Yellen yang dikatakan bersifat terbuka mengenai teknologi blockchain untuk menggantikan Steven Mnuchin sebagai Setiausaha Perbendaharaan.
Malah, pakar matawang digital Gary Gensler juga dilantik Biden sebagai pakar kewangan, disusuli dengan khabar positif mengenai kripto oleh pegawai eksekutif Office of the Comptroller of the Currency (OCC), Brian Brooks.
Pada minggu lepas, akta perundangan stablecoin telah diusulkan di Kongres, menunjukkan kepentingan antara projek berpusat (centralized) dan tidak berpusat (decentralized) dari segi peraturan.