Pasaran kripto pada hari ini memberi tumpuan terhadap pencalonan Janet Yellen sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menggantikan Steven Mnuchin bermula tahun depan.
Yellen merupakan bekas pengerusi Federal Reserve (Fed) berkhidmat sepanjang era pemerintahan Barrack Obama bermula 2014 sehingga 2018.
Apa yang membimbangkan pasaran kripto, terutama Bitcoin (BTC), Yellen awal-awal lagi menunjukkan sikap skeptikalnya terhadap matawang kripto.
Sekitar 2018, Yellen menjelaskan dirinya bukan peminat Bitcoin dan menyifatkan transaksi menggunakan Bitcoin, termasuk kebanyakan matawang kripto lain salah di sisi undang-undang.
Yellen menggelar aset Satoshi Nakamoto sebagai “aset spekulatif” tetapi pada masa yang sama turut menunding jari kepada Federal Reserve, menuduh institusi itu tidak memainkan peranan dalam matawang kripto.
Pendiriannya ternyata berbeza pada 2017, Yellen menegaskan kepentingan blockchain sebagai teknologi baru yang mungkin memiliki implikasi menerusi pengurusan transaksi seluruh sistem kewangan.
Namun, tidak bererti individu tersebut bersetuju dengan Bitcoin. Selepas pengundurannya dari Federal Reserve, Yellen memilih untuk mengunci mulut berkenaan kripto.
Jika Senat bersetuju dengan pencalonan Yellen, tidak mustahil akan berlaku rombakan besar memandangkan beliau berupaya untuk membentuk pendekatan penggubal kewangan terhadap kripto.
Setakat ini masih belum jelas pendirian Yellen terhadap kripto dan tiada sebarang pencalonan rasmi dilakukan.