Pelabur sesi Asia berdepan detik mendebarkan susulan gergasi hartanah China, Country Garden yang hampir mengalami ‘default’ disebabkan krisis hutangnya.
Seperti yang dilaporkan INTRADAY pada hari Isnin, gergasi hartanah itu telah memperoleh lanjutan untuk pembayaran bon yang berjumlah 3.9 bilion yuan ($540 juta) pada hari Sabtu.
Namun, krisis lain pula datang menimpa Country Garden yang berdepan tarikh akhir untuk membuat bayaran faedah pada dua bon dolar Amerika Syarikat yang berbeza pada hari ini.
Difahamkan, pemaju hartanah itu telah terlepas pembayaran kupon pada awal Ogos, di mana tempoh penangguhan (grace period) selama 30 hari berakhir pada hari ini dan esok (5 dan 6 September).
Hal ini telah mencetuskan kebimbangan pasaran yang mendorong mata wang sensitif risiko dolar Aussie dan New Zealand mencatat penyusutan ketara pada sesi Asia.
Kegagalan membuat pembayaran itu akan meningkatkan risiko ‘default’ dan pemegang bon lain untuk mempercepatkan pembayaran mereka.
Walau bagaimanapun, syarikat itu akhirnya berjaya membayar faedah ke atas dua bon tersebut yang berjumlah $22.5 juta sebelum menghampiri detik akhir.
Ia secara tidak langsung memberi sedikit kelegaan buat pelabur, walaupun hakikatnya masih ada masalah lain yang menanti di hadapan.
Ini kerana jumlah liabiliti Country Garden masih mempunyai timbunan hutang yang tinggi kira-kira $194 bilion menjelang akhir Jun, berdasarkan keputusan kewangan separuh pertamanya.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.