[CPI AS] Pasaran Digegarkan Dengan Kejutan Inflasi AS, US Dolar Mengamuk!

852

Bergegar pasaran sesi New York semalam!

Tumpuan utama pasaran terarah kepada terbitan data inflasi Amerika Syarikat (AS) semalam yang telah mengundang impak besar khususnya terhadap pergerakan mata wang US dolar.

Meneliti laporan, bacaan tahunan indeks harga pengguna (CPI) AS catat 3.1% untuk Januari, menurun dari paras sebelum ini 3.4% namun tidak mencapai jangkaan 2.9%.

Walaupun berlaku penurunan pada kadar inflasi tahunan terbaru ini, namun pasaran melihat bacaan inflasi tersebut masih berada di paras tinggi dan masih menyukarkan Federal Reserve (Fed) untuk melaksanakan langkah pemotongan kadar faedah.

Sementara bacaan CPI bulanan tidak berubah di paras 0.3% meleset berbanding jangkaan untuk susut kepada 0.2% manakala inflasi teras meningkat dari 0.3% kepada 0.4%.

Ini telah memberi kesan pengukuhan yang ketara terhadap US dolar untuk melonjak ke paras tertinggi 3 bulan semula dengan jangkaan Fed akan terus mengekalkan dasar monetari yang ketat pada Mac.

Justeru itu, mata wang utama lain terus dibenam jatuh dengan pengukuhan US dolar tersebut.

Pound yang mengukuh di sesi Eropah ketika laporan data pekerjaan UK diterbitkan dengan angka yang positif, turut kecundang apabila diasak oleh tekanan US dolar di sesi berikutnya.

Lebih berisiko buat Pound hari ini (Rabu), data inflasi UK pula akan hadir di sesi Eropah sebentar lagi sebelum ucapan gabenor Andrew Bailey akan diperhatikan pada sesi New York.

Euro diheret jatuh ke paras terendah terbaru 13 minggu mencecah paras tumpuan pada $1.0700.

Dolar Aussie turut susut ke paras terendah 13 minggu, dolar Kanada terendah 9 minggu, Yen terendah 13 minggu melepasi paras penting ¥150.00.

Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah stabil meningkat dengan sederhana semalam untuk paparkan pemulihan semula dari kejatuhan di awal Februari.

Namun, lain pula cerita untuk dagangan emas dengan melihatkan harga menjunam parah kesan reaksi pada data CPI AS yang diterbitkan semalam.

Harga emas telah jatuh hingga ke bawah paras $2,000 dan berlegar perlahan di sekitar paras $1,990 setakat awal sesi Asia pagi ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat