Dagangan Bursa Malaysia Kembali Pamer Prestasi Cemerlang

144

Bursa Malaysia diniagakan tinggi pada sesi dagangan hari ini susulan pelabur meneruskan pembelian terhadap produk dan perkhidmatan industri terpilih dan kaunter perkhidmatan kewangan.

Pada 9.15 pagi, indeks petunjuk aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 7.04 mata kepada 1,503.77 berbanding 1,496.73 semasa penutupan pasaran pada Isnin.

Lapor Bernama, indeks itu dibuka 2.70 mata lebih baik pada 1,499.43.

Meneliti kepada pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 291 daripada 201, manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,400 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 435.36 juta unit berjumlah RM211.78 juta.

Menurut Malacca Securities, stok pengguna dan bahan binaan dilihat akan menjadi tumpuan selepas peningkatan pada kadar vaksinasi dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.

Di samping itu, pelabur terus mengekalkan perhatian terhadap sektor teknologi setelah terdapat jangkaan positif bagi musim pendapatan bulan Ogos.

Kes harian Covid-19 dan perkembangan politik semasa di Malaysia mungkin akan terus mempengaruhi dan mendorong minat belian di bursa tempatan.

Firma penyelidikan itu juga berkata FBM KLCI dan pasaran yang lebih luas meningkat pada Isnin berikutan sektor berkaitan pengguna dan pengangkutan serta logistik mempamerkan kenaikan yang dipacu oleh pengumuman mengenai kelonggaran SOP bagi individu yang telah lengkap menerima suntikan vaksin.

Pasaran tempatan memberi respon baik terhadap Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) yang lebih tinggi dari jangkauan untuk catat peningkatan 1.4% tahun ke tahun pada Jun.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah 4.0 sen kepada RM8.04 dan RM8.04, Public Bank dan TNB masing-masing naik 2.0 sen kepada RM3.98 dan 9.70 manakala IHH Healthcare susut 1.0 sen kepada RM5.78.

Bagi saham aktif, TA Win melonjak 1.5 sen kepada 18.5 sen, Tanco tidak berubah pada 21.5 sen serta TFP Solutions dan Scope Industries masing-masing naik 1.0 sen kepada 20.5 dan 28.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE melonjak 71.26 mata kepada 7,265.47, FBM 70 ‘meroket’ 52.10 mata kepada 14,647.04 dan Indeks FBMT 100 naik 47.20 mata kepada 10,754.34.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 36.59 mata kepada 12,108.78 dan Indeks FBM Emas melonjak 44.73 mata pada 11,043.07,

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 71.33 mata kepada 14,798.26, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 1.43 mata kepada 190.75 dan Indeks Perladangan meningkat 23.89 mata menjadi 6,125.23.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat