Dagangan Bursa Terus Kekalkan Rekod Cemerlang Minggu Lalu

142

Perdagangan Bursa Malaysia mengekalkan rentak kenaikan untuk dibuka tinggi hari ini setelah dipacu oleh permintaan belian yang berterusan bagi saham wajaran tinggi terpilih susulan para pelabur kembali mendapat keyakinan dek kerana pergolakan politik tempatan yang kian reda.

Pada 10.11 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 8.47 mata kepada 1,598.63 daripada 1,590.16 ketika ditutup pada Jumaat.

Bernama melaporkan indeks utama itu diniagakan 3.03 mata lebih baik kepada 1,593.19.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 286 berbanding 200, manakala 373 kaunter tidak berubah, 1,387 tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 523.04 juta unit bernilai RM210.16 juta.

Malacca Securities menyatakan sentimen positif itu dijangka akan terus disokong oleh sasaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencapai kadar vaksinasi melebihi 50% populasi orang dewasa di enam negeri iaitu Perak, Terengganu, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah pada akhir September.

Dalam pada itu, beliau juga ingin mempertimbangkan untuk Lembah Klang beralih ke Fasa 2 Rancangan Pemulihan Nasional.

Firma broker menyatakan KLCI terus mengekalkan rentak lonjakan adalah didorong oleh minat belian yang kuat dari dana asing di tengah situasi politik yang kian reda dan pembukaan semula aktiviti perniagaan.

Namun, ia mengatakan perdagangan pada hari ini berkemungkinan akan perlahan menjelang cuti umum sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada esok.

Selain itu, sektor teknologi dilihat bakal terus memperoleh tumpuan berikutan kenaikan semalam di Nasdaq mencatatkan rekod tertinggi susulan kenyataan Pengerusi Federal Reserve AS (Fed) mengenai dasar monetarinya yang bernada dovish.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM8.43, Petronas Chemicals dan IHH masing-masing meningkat 10 sen kepada RM8.30 dan RM6.45.

TNB melonjak lapan sen kepada RM10.46 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.18.

Bagi saham aktif, KNM Group dan Green Ocean masing-masing naik setengah sen kepada 26.5 sen dan 3.5 sen, Impiana Hotels naik satu sen kepada lapan sen dan Orion IXL susut satu sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 64.95 mata pada 11,338.33, FBM 70 meningkat 53.81 mata kepada 15,024.15 dan FBM ACE naik 16.77 mata kepada 7,231.64.

Indeks FBM Emas melonjak 63.80 mata kepada 11,624.33 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 74.66 mata kepada 12,754.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 58.04 mata kepada 15,544.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.45 mata kepada 198.01 dan Indeks Perladangan naik 10.34 mata kepada 6,784.02.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat