Dagangan Loonie Menguat Dengan Jangkaan Bank Pusat Kanada Akan Kekalkan Kadar Faedah

0 193

Bank Pusat Kanada (BOC) dijangka akan menetapkan kadar faedahnya pada mesyuarat penetapan dasar monetari pada malam ini berikutan kenyataan Gabenor BOC, Stephen Poloz menyatakan keadaan monetari Kanada adalah bertepatan dengan situasi ekonomi semasa

Susulan itu, dolar Kanada diniagakan meningkat berbanding dolar USD selain turut dipacu oleh sentimen perdagangan AS dan China yang telah melemahkan pergerakan USD susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai perjanjiannya dengan China mungkin ditangguh sehingga pilihan raya AS tahun hadapan.

Terdahulu, pasaran menjangkakan BOC akan menurunkan kadar faedahnya pada mesyuarat kali ini, selepas pertemuan mereka pada bulan Oktober lalu telah menimbulkan spekulasi berikutan kenyataannya mengenai ketahanan ekonomi Kanada akan semakin diuji.

Hal ini kerana, mereka melihat prospek ekonomi Kanada semakin melemah sejak Julai dengan dipengaruhi oleh ketegangan perdagangan yang telah menjejaskan pelaburan perniagaan dan eksport pada separuh kedua tahun ini.

Bagaimanapun, dengan kenyataan positif daripada Gabenor Poloz, ia telah memadamkan jangkaan pasaran terhadap pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat itu.

Sementara itu, harga minyak mentah yang merupakan eksport terbesar Kanada, mencatatkan pengukuhan dengan disokong oleh data industri yang menunjukkan bekalan minyak mentah Amerika Syarikat berkurang sebanyak 3.7 juta tong daripada dijangkakan sebanyak 1.7 juta tong.

Pengukuhannya turut didorong oleh kenyataan menteri minyak Iraq, Thamer Ghadhban yang memberitahu bahawa lanjutan terhadap perjanjian pengurangan pengeluaran harga minyak telah menjadi pertimbangan oleh beberapa ahli utama OPEC.

Anggota OPEC dan OPEC+ akan bertemu pada 5 hingga 6 Disember ini untuk memutuskan sama ada perjanjian pengurangan pengeluaran minyak mentah akan dilanjutkan atau tidak.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.