Dagangan USD Stabil, Aussie Goyah Susulan Laporan Pekerjaan Australia Dikeluarkan

360

Matawang dolar Amerika Syarikat kembali didagangkan meningkat pada Khamis selepas melonjak semula dari paras terendah dagangan 11 minggu dengan penurunan yang dipamerkan oleh rakan matawang utama yang lain seperti Euro, Pound dan juga matawang komoditi.

Indeks dolar berbanding matawang utama yang lain kekal stabil di paras 96.957 selepas meningkat lebih 0.3% semalaman.

Indeks tersebut menurun kepada 96.459 pada Isnin iaitu paras terendah sejak penghujung Mac, diikuti penurunan pada hasil perbendaharaan Amerika Syarikat yang jatuh sekitar paras terendah dua tahun susulan laporan pekerjaan NFP pada Jumaat yang merosot dan menguatkan lagi jangkaan bank pusat bakal menurunkan kadar faedah.

Data indeks harga pengguna Amerika Syarikat semalam mencatatkan penurunan 0.1% daripada bacaan 0.3% sebelumnya seperti jangkaan. Bacaan teras kekal di paras 0.1% meleset berbanding jangkaan kenaikan kepada 0.2% oleh pasaran.

Dolar Euro terkesan selepas Presiden Donald Trump berkata pada Rabu bahawa beliau sedang mempertimbangkan sekatan terhadap projek saluran paip gas asli Nord Stream 2 Rusia dan turut memberi amaran kepada Jerman untuk tidak bergantung terhadap Rusia untuk sumber tenaga.

Beralih perkembangan di Britain, Pound Sterling menunjukkan kenaikan ke paras tertinggi tiga minggu pada dagangan semalam selepas parti utama pembangkang Britain cuba untuk memperkenalkan undang-undang parlimen untuk mengatasi situasi Brexit tanpa perjanjian.

Namun percubaan tersebut gagal mengatasi penggubal undang-undang Britain dan membuatkan dagangan GBP kembali menunjukkan penurunan semula.

Pelabur gelisah berkenaan keupayaan Perdana Menteri yang baru untuk mengawal situasi pengunduran Britain tanpa perjanjian bersama Kesatuan Eropah. Calon utama yang dilihat bakal menggantikan Theresa May iaitu Boris Johnson berkata beliau sanggup memikul tanggungjawab untuk pelaksanaan pengunduran negara pada penghujung Oktober ini walaupun berdepan situasi pengunduran tanpa sebarang perjanjian.

Sesi pasaran Asia hari ini menumpukan perhatian terhadap laporan data pekerjaan Australia oleh Biro Statistik Australia yang dikeluarkan pada jam 9.30 pagi.

Laporan pekerjaan Australia untuk bulan Mei dilihat mengeluarkan bacaan yang bercampur. Kadar pertambahan pekerjaan meningkat kepada 42,300 pekerjaan berbanding jangkaan penurunan kepada 16,000 dan mengatasi bacaan bulan April iaitu 28,400 pekerjaan.

Namun, kadar pengangguran kekal tinggi di paras 5.2% meleset daripada jangkaan penurunan kepada 5.1% oleh pasaran. Kadar tersebut adalah tertinggi sejak Ogos tahun lalu.

Pada jam 3.30 petang ini pula, tumpuan akan terarah kepada mesyuarat dasar monetari Switzerland di mana kadar faedah dijangka akan terus dikekalkan di paras rendah pada -0.75% seperti sebelum ini.

Pantau data-data penting dan sentiasa peka terhadap berita-berita dan isu semasa yang mempengaruhi pasaran kewangan bagi membantu anda kekal mengawal risiko untuk setiap posisi dagangan anda.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat