Dagangan USD Suram, Fed Sedia Gegar Pasaran!

541

US dolar kekal didagangkan lebih kukuh berbanding kebanyakan mata wang utama meskipun sedikit suram menjelang mesyuarat polisi FOMC yang akan berlangsung pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia).

Pemain pasaran kini bersiap sedia di tengah jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan menaikkan kadar faedahnya buat pertama kali sejak tahun 2018.

Kenyataan daripada Pengerusi Fed, Jerome Powell juga akan diteliti bagi mendapatkan petunjuk mengenai kenaikan kadar seterusnya yang mungkin telah berubah berikutan perang Ukraine-Rusia menimbulkan ketidakpastian baharu pada ekonomi.

Sebelum mesyuarat FOMC, pelabur akan diperlihatkan dengan penerbitan data jualan runcit Amerika Syarikat terlebih dahulu yang dijangka akan menunjukkan pengurangan dalam perbelanjaan pengguna pada bulan Februari.

Selain itu, data inflasi Kanada juga akan menjadi tumpuan pelabur yang diramalkan memaparkan peningkatan pada bulan lalu yang mungkin terus menekan Bank Pusat Kanada (BOC) untuk bertindak lebih agresif.

Ketika penulisan, dolar loonie didagangkan sedikit meningkat meskipun dagangan minyak mentah dunia terus suram berikutan kebimbangan yang mereda terhadap perang Ukraine-Rusia.

Sementara itu, euro didagangkan sedikit berubah sejajar dengan pergerakan US dolar. Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde memberitahu bahawa ketidakpastian dalam prospek ekonomi telah meningkat ketara kerana konflik di Ukraine memberi impak pada pertumbuhan dan menyebabkan inflasi akibat lonjakan kos tenaga dan komoditi.

Mata wang pound didagangkan sedikit meningkat ketika tumpuan pelabur turut terarah kepada mesyuarat polisi Bank Pusat England (BOE) pada Khamis yang dijangka akan meningkatkan kadar faedah sekali lagi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat